Berita Semasa

Majlis Himpunan Wanita Selangor cipta sejarah, kumpul lebih 1,000 pemimpin wanita

SHAH ALAM – Majlis Himpunan Wanita Selangor bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mencipta sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih 1,000 pemimpin wanita daripada pelbagai latar belakang agama, budaya, pendidikan dan sosioekonomi.

Program anjuran kerajaan negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) ini bertujuan mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan masyarakat serta menghargai usaha pemberdayaan wanita yang telah dilaksanakan.

Antara pengisian utama majlis ialah pembentangan laporan program dan aktiviti WBS bagi tahun 2024 oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Faridah Abdul Samad.

Turut diadakan sesi dialog bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan Selangor merangkap Pengerusi WBS, Anfaal Saari serta Siti Faridah.

Majlis itu yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, hari ini turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan kepada 56 Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB), Pegawai Titik Tumpuan Gender (GFP) dan Pasukan Tumpuan Gender (GFT).

Selain itu, Anugerah Penyelia dan Pusat Wanita Berdaya Terbaik turut diberikan sebagai penghargaan atas kecemerlangan mereka, di samping penyampaian biasiswa dan anugerah kepada graduan serta pemenang Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2024.

Dalam pada masa yang sama, Amirudin turut memuji kehadiran 1,000 pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang dalam majlis itu.

Kehadiran 1,000 pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang dalam majlis anjuran Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat & Ekonomi Penjagaan (Care Economy) melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS).

 

Menurutnya, komitmen wanita Selangor terhadap pembangunan negeri selaras dengan falsafah Eleanor Roosevelt bahawa “masa depan adalah milik mereka yang percaya pada keindahan impian mereka”.

“Program seperti ini membuktikan komitmen kerajaan negeri Selangor dalam memperkasakan wanita sebagai pemimpin perubahan dan tonggak pembangunan negeri.

“Wanita adalah tulang belakang kepada kejayaan sesebuah masyarakat. Kerajaan negeri Selangor sentiasa memastikan bahawa usaha-usaha pemberdayaan wanita ini diberi perhatian dan dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif, termasuk penubuhan Pusat Wanita Berdaya (PWB) yang kini menjadi platform utama melatih wanita di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pemberdayaan wanita bukanlah satu permainan sifar hasil (zero-sum game), tetapi memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

“Lelaki dan wanita harus saling melengkapi. Kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, swasta, NGO dan komuniti, amat penting untuk memastikan kesejahteraan wanita serta kesaksamaan gender terus diperkukuh,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program pemberdayaan wanita oleh WBS, orang ramai boleh menghubungi talian 013-2898399 (Imma Mansor) atau 011-31051027 (Amalia).

Majlis ini melabuhkan tirainya dengan semangat baharu untuk memastikan golongan wanita terus menjadi pemangkin pembangunan Negeri Selangor dan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button