
Pinjaman peribadi jadi punca utama kebankrapan belia
PUTRAJAYA – Pinjaman peribadi dikenal pasti sebagai punca utama kebankrapan dalam kalangan belia di Malaysia, dengan 49.11 peratus atau 15,413 kes dilaporkan sehingga tahun lalu.
Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk M. Bakri Abd Majid berkata, kecenderungan kepada gaya hidup mewah menyebabkan golongan muda memohon pelbagai kad kredit dan menggunakannya secara tidak terkawal sehingga gagal membayar hutang.
“Faedah kad kredit yang tinggi, antara 15 hingga 18 peratus setahun, menambah beban kepada peminjam, terutama bagi mereka yang baru memasuki alam pekerjaan,” seperti yang dilaporkan NST
Menurutnya, sebanyak 2,776 kes kebankrapan akibat pinjaman peribadi direkodkan pada tahun lalu, meningkat berbanding 2,225 kes pada tahun 2023. Kebanyakan individu terlibat berusia antara 25 hingga 44 tahun.
Beliau turut menyeru institusi kewangan mengetatkan syarat kelulusan pinjaman kepada golongan muda bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak diberikan kemudahan ini.
“Kami percaya langkah itu dapat mengurangkan kes kebankrapan yang berpunca daripada ketidakmampuan membayar balik pinjaman,” katanya lagi.
Beliau berkata, kegagalan individu muflis hadir atau memberi kerjasama dengan jabatan menyukarkan usaha untuk menyusun jadual pembayaran semula hutang kepada pemiutang.
Malaysia memperkenalkan Dasar Peluang Kedua pada tahun lalu bagi membantu individu muflis memulakan semula kehidupan dan menyumbang kepada ekonomi negara.
“Sehingga akhir tahun lalu, seramai 142,510 individu berjaya dilepaskan daripada kebankrapan, melebihi sasaran awal sebanyak 130,000 individu.
Namun, masih terdapat 133,844 individu dalam status muflis setakat akhir bulan lalu, berkurangan daripada 233,483 pada tahun 2023,” katanya lagi.
Beliau menekankan kepentingan individu muflis tampil bekerjasama dengan jabatan untuk mendapatkan Sijil Pelepasan atau pelepasan automatik di bawah Akta Insolvensi 1967.
Walaupun terdapat sekatan terhadap individu muflis seperti larangan perjalanan dan penglibatan dalam syarikat,
Bakri berkata, sekatan itu boleh dilonggarkan jika individu mematuhi syarat ditetapkan.
Beliau berharap masyarakat, terutama golongan muda, lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan dan mengambil peluang yang disediakan untuk menyelesaikan status kebankrapan mereka.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |