
Pemilik syarikat pelancongan kontroversi ditahan semula, 42 laporan polis diterima
SHAH ALAM – Pasangan suami isteri yang merupakan pemilik syarikat pelancongan kontroversi, kerana didakwa gagal menerbangkan jemaah umrah, akan ditangkap semula oleh polis Johor untuksiasatan kes penipuan di negeri itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan tersebut akan diambil oleh Kontinjen Johor yang kini menyiasat kes berkenaan.
Sementara itu, enam pekerja syarikat tersebut yang sebelum ini ditahan akan dibebaskan dengan jaminan pada Ahad.
“Kertas siasatan kes di Selangor akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya memetik laporan Sinar online.
Menurut Hussein, pihaknya telah menerima 42 laporan polis setakat ini, yang terdiri daripada 28 mangsa, 13 ejen dan pekerja, serta satu laporan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pada Sabtu, media melaporkan tujuh individu, termasuk pemilik syarikat pelancongan, ditahan berhubung kes penipuan umrah selepas syarikat itu didakwa gagal menerbangkan jemaah ke Makkah. Perintah reman terhadap mereka dilanjutkan sehari sehingga Ahad.
Hussein turut berkata, seorang suspek, iaitu isteri kepada pemilik syarikat, telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan.
Terdahulu, dilaporkan lapan individu, termasuk pasangan suami isteri berusia antara 24 hingga 46 tahun, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes penipuan yang melibatkan kerugian RM2.1 juta.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune