
NGO, persatuan anjur aktiviti kebersihan di WP boleh mohon peruntukan BeST – Dr Zaliha
KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang berminat menganjurkan aktiviti pembersihan dan keceriaan di Wilayah Persekutuan boleh memohon peruntukan daripada kerajaan menerusi program Bersih Semua Tempat (BeST).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif ini bertujuan mendorong pembudayaan persekitaran bersih dalam kehidupan seharian masyarakat di Wilayah Persekutuan, lapor BERNAMA.
“Kita memang ada peruntukan di peringkat Wilayah Persekutuan. Jadi kita mahu lakukan ini di peringkat komuniti dan kalau ada NGO yang berminat bekerjasama selaku rakan strategik, kita ada sediakan bajet untuk menggalakkan mereka melaksanakannya di peringkat komuniti,” katanya.
Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program BeST secara serentak di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, di sini hari ini.
Jelas beliau, pelaksanaan program ini merupakan usaha menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar bersih dan mampan sekali gus membina imej negara yang positif bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dalam majlis sama, Dr Zaliha turut melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang akan disambut pada 1 Februari depan.
Sebanyak 72,000 bendera Wilayah Persekutuan daripada pelbagai saiz diedarkan pada tahun ini melibatkan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |