
AISSE 2025: Malaysia komited perkukuh keselamatan serantau
PUTRAJAYA – Lebih 300 syarikat dari 48 negara termasuk jenama terkenal seperti Barzan Holdings, BlackBerry dan Samsung akan menyertai Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE’25) yang bakal berlangsung dari 20 hingga 22 Januari 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sidang tersebut yang mengangkat tema Asia United: Charting the Future of Global Peace and Security through Law Enforcement Collaboration merupakan platform strategik untuk membincangkan isu keselamatan siber dan lain-lain.
“AISSE’25 bukan sekadar pameran. Ia adalah platform strategik yang mengumpulkan pelbagai pihak untuk membincangkan isu keselamatan siber, teknologi pemantauan pintar dan kerjasama penguatkuasaan undang-undang,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
AISSE’25 dijangka menarik kehadiran lebih 5,000 pelawat perdagangan, lebih 1,000 peserta seminar serta 60 delegasi antarabangsa termasuk menteri ASEAN dan pemimpin global.
Acara itu turut menyokong kedudukan Malaysia di tangga ke-10 dalam Global Peace Index (GPI) 2024 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-16.
“Tema itu mencerminkan tekad kita untuk memperkukuh perpaduan serantau, meningkatkan kerjasama keselamatan dan mempromosikan strategi inovatif.
“Malaysia bersedia menjadi hab keselamatan yang memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya lagi.
Antara program utama yang bakal berlangsung ialah Ministerial Roundtable, Ministerial Keynote and Fireside Chat, serta demonstrasi teknologi terkini oleh 109 syarikat tempatan dan 212 syarikat antarabangsa.
Acara itu juga menawarkan 36 sesi persidangan termasuk forum, bengkel dan ceramah yang akan dikendalikan oleh pakar keselamatan global.
Saifuddin turut mengundang orang ramai untuk hadir sebagai pelawat atau pempamer bagi memanfaatkan peluang membina jaringan kerjasama strategik.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman rasmi www.aisse.my.
“AISSE’25 adalah usaha kolektif untuk membentuk masa depan yang lebih aman dan selamat. Marilah kita berganding bahu merealisasikan visi itu,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |