
“Please Respect My Boundaries”: Syerleena tekan kepentingan perlindungan kanak-kanak
GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menekankan kepentingan mendidik dan melindungi kanak-kanak dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka pada acara “Please Respect My Boundaries” di sini, hari ini.
Program anjuran Children Protection Society (CPS) itu turut mendapat sokongan Soroptimist International dan Makchic dengan fokus utama mendidik masyarakat, khususnya kanak-kanak, mengenai keselamatan tubuh badan serta pencegahan penyalahgunaan.
“Acara ini bukan sekadar persidangan, tetapi seruan kepada tindakan untuk memastikan kanak-kanak kita membesar dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan bebas daripada ancaman,” kata Syerleena.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Nazir Ariff di atas kepimpinan beliau dalam menjadikan CPS sebagai institusi penting sejak penubuhannya pada 1991.
Sehingga kini, lebih 3,000 kanak-kanak yang mengalami pengabaian, penderaan dan ditinggalkan telah menerima perlindungan di bawah CPS.
Syerleena berkata, tema acara, “Please Respect My Boundaries”, mengingatkan semua pihak mengenai pentingnya ruang peribadi, persetujuan dan hak setiap kanak-kanak untuk berasa selamat.
“Mengajar kanak-kanak bahawa tubuh mereka adalah milik mereka dan mereka berhak menentukan batasan adalah langkah penting dalam pencegahan penyalahgunaan,” ujarnya.
Acara itu turut memberi tumpuan kepada pendidikan tentang perbezaan antara situasi selamat dan tidak selamat, mengenali sentuhan yang tidak sesuai, serta memberi keyakinan kepada kanak-kanak untuk bersuara dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
Beliau berkata, peranan penting guru dan penjaga sebagai barisan hadapan dalam mengenal pasti tanda-tanda penderaan.
Forum dan bengkel khas dalam acara itu juga dirancang untuk memperkasakan pendidik dengan alat serta pengetahuan yang diperlukan bagi menangani situasi sensitif secara berkesan.
Dalam ucapannya, Syerleena turut menyeru kepada perubahan sistemik bagi memastikan perlindungan kanak-kanak menjadi keutamaan, termasuk memperketat pemantauan rumah kebajikan serta memastikan hukuman tegas terhadap pelaku jenayah penderaan.
Acara “Please Respect My Boundaries” itu disifatkan sebagai permulaan penting dalam usaha jangka panjang untuk memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia hidup dalam persekitaran yang selamat, dihormati dan diberi peluang untuk berkembang maju.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune