Jenayah & MahkamahBerita Semasa

Pengurus syarikat rugi RM6.1 juta terpedaya penipuan ‘K-33 Investor Club’

SHAH ALAM – Seorang pengurus syarikat kerugian RM6.1 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud dikenali sebagai ‘K-33 Investor Club’.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 64 tahun itu terjebak dengan tawaran pelaburan itu selepas melihat iklan di laman Facebook sebelum berhubung dengan seorang individu yang mengaku sebagai tenaga pengajar kumpulan pelaburan tersebut bernama Raymond Goh.

“Mangsa diberi penerangan terperinci mengenai pelaburan dan dimasukkan ke dalam kumpulan perbualan WhatsApp sebelum mula melakukan aktiviti pelaburan selama dua minggu.

“Suspek kemudian meminta mangsa mendaftar sebagai pelabur baharu di platform ‘Digzax.com’.

“Mangsa telah membuat sembilan transaksi ke lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM6.1 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussein menjelaskan, selepas semua transaksi dilakukan, mangsa mendapati jumlah keuntungan di platform itu mencecah hampir RM28.9 juta.

Namun, ketika mangsa cuba mengeluarkan wang tersebut, dia diminta membuat pelbagai bayaran cukai.

“Mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan itu,” tambahnya.

Berikutan itu, Hussein menasihatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa, khususnya melalui aplikasi atau platform yang tidak mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan,” katanya lagi.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan teliti sebelum melibatkan diri dalam mana-mana pelaburan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button