Berita SemasaDalam Negeri

MOTAC cadang perketat syarat syarikat pengendali umrah

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan akan mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat pengendali umrah yang gagal mematuhi keperluan serta peraturan ditetapkan.

MOTAC dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan itu perlu untuk melindungi kepentingan para jemaah umrah negara ini daripada menjadi mangsa penipuan yang semakin kerap berlaku.

Antara syarat yang sedang diteliti adalah untuk mewajibkan syarikat-syarikat pengendali mempunyai jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000.

“Jaminan bank ini akan dinaikkan mengikut saiz operasi syarikat. Untuk syarikat besar, ia akan dinaikkan mengikut saiz operasi mereka.

“Sedia maklum, jaminan bank bagi syarikat-syarikat pengendali adalah termaktub dalam Peraturan-peraturan Industri Pelancongan di bawah Akta 482.

“Misalnya apabila berlaku penipuan, dana dari jaminan bank ini akan digunakan untuk memberi pampasan kepada mangsa yang terjejas,” menurut kenyataan tersebut.

MOTAC juga menegaskan tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka serta-merta tanpa sebarang kompromi.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kes ratusan jemaah umrah yang tidak dapat menunaikan ibadah ke Tanah Suci atas pelbagai faktor.

Dalam pada itu, MOTAC turut meluahkan kekecewaan terhadap sikap segelintir pengendali yang masih gagal mematuhi undang-undang walaupun tindakan telah diambil terhadap mereka sebelum ini.

“Seramai 135 mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang telah hadir ke MOTAC di Putrajaya untuk mengadu tentang pengendali yang gagal menguruskan perjalanan mereka mengerjakan Umrah.

“Ini menunjukkan bahawa isu ini tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan,” katanya.

MOTAC sebelum ini menyatakan hasrat untuk membantu jemaah umrah yang menjadi mangsa dan terkandas untuk menunaikan ibadah tersebut.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button