
Malaysia Tribune terima Anugerah Pena Emas 2024 MiSHA
KUALA LUMPUR – Portal berita Malaysia Tribune dipilih sebagai penerima Anugerah Pena Emas 2024 anjuran Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Perindustrian Malaysia (MiSHA) dalam satu majlis di Hotel Royale Chulan di sini, malam tadi.
Anugerah Kebangsaan Kecemerlangan Prinsip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-PoP) 2024 itu disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Zulkefly Ahmad kepada Pengarang Berita Malaysia Tribune, Abd. Halim Hadi.
Pengiktirafan diberikan atas sumbangan pengamal media yang menyalurkan maklumat berkaitan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam industri.
Antara media lain yang menerima Anugerah Pena Emas 2024 ialah Astro Arena, Berita Harian, Edisi 9; Media Prima, Majoriti, Bernama dan RTM.

Pada tahun ini, MiSHA menyampaikan 150 anugerah pelbagai kategori bagi mengiktiraf individu dan organisasi pelbagai sektor yang melaksanakan amalan pengurusan terbaik dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat.
Petronas Gas Bhd Segamat Operation Centre muncul sebagai pemenang anugerah utama iaitu Anugerah Platinum MiSHA manakala Gamuda Berhad diumumkan pemenang Anugerah Khas Menteri.
Zulkefly dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada MiSHA di atas penganjuran anugerah yang menghargai kecemerlangan dalam amalan Keselamatan dan Kesihatan (OSH) di negara ini.
“Usaha seperti ini akan membawa manfaat besar kepada pekerja, organisasi dan ekonomi negara. Saya harap MiSHA akan terus menjadi pelopor dalam tujuan ini,” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kementerian Sumber Manusia, Bahruddin Mamat; Presiden MiSHA, Aziz Basiran dan Pengerusi OSH-PoP, Abd Mutalib Abd Gapar.
Abd Mutalib Abd Gapar berkata, majlis berkenaan bertujuan menyatukan pemegang taruh industri, para profesional keselamatan serta pihak yang berkaitan dalam meningkatkan prestasi keselamatan tempat kerja di Malaysia.
Katanya, pengiktirafan yang dimulakan sejak 2021 itu diberikan untuk mendorong dan menyokong sektor industri melakukan inovasi dalam aspek OSH.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |