
Caj PPUM naik: Parlimen Lembah Pantai kumpul dana RM5 juta, bantu golongan memerlukan
KUALA LUMPUR – Parlimen Lembah Pantai akan mengumpulkan dana berjumlah RM5 juta pada tahun ini bagi menampung kenaikan kadar caj perkhidmatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk golongan memerlukan.
Ahli Parlimennya Fahmi Fadzil berkata, dana itu akan disalurkan kepada Tabung PPUMCare yang akan memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40 terkesan akibat kenaikan caj dikenakan pusat perubatan itu bermula 1 Januari lepas.
Beliau berkata, langkah itu diambil memandangkan PPUM menjadi antara tumpuan penduduk Parlimen Lembah Pantai untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
“Walaupun saya sejujurnya tidak bersetuju dengan peningkatan (kadar caj perkhidmatan PPUM) ini, tetapi oleh kerana mereka telah membuat pengumuman itu, maka saya lihat perlu diusahakan bantuan terutama kepada golongan memerlukan,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.
Terdahulu beliau melancarkan Program Rintis Future Health for All (FH4A).
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, dana Tabung PPUMCare itu disalurkan melalui Jabatan Sosial pusat perubatan itu yang akan meneliti pesakit yang layak mendapatkan bantuan.
Fahmi berkata, beliau juga telah bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi PPUM bagi membincangkan kenaikan kadar caj berkenaan.
“Sebelum ini mereka ada mengadakan perbincangan dengan saya dua kali pada 2019 dan 2021 dan pada waktu itu saya telah menyatakan pendirian bahawa tidak wajar dikenakan peningkatan.
“Kali ini mereka tidak bertemu dengan saya dan mereka telah mengumumkan dahulu, tetapi saya telah memanggil mereka pada Sabtu minggu lepas dan menyatakan bahawa saya tidak setuju sebagai Ahli Parlimen bahawa mereka telah meningkatkan kos,” katanya.
Bagaimanapun Fahmi berkata, beliau memahami kenaikan itu terpaksa dibuat kerana peranan PPUM sebagai hospital pengajar yang keadaannya berbeza berbanding hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan.
PPUM mengumumkan kadar caj perkhidmatan baharu bermula 1 Januari lepas berikutan kenaikan kos bekalan dan peralatan perubatan.
Berdasarkan laman sesawang PPUM, ia termasuk caj bayaran perubatan dan pembedahan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |