
Tiga sekeluarga maut dalam kebakaran di Kampung Oren
JOHOR BAHRU – Tiga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Oren, Ulu Tiram, awal pagi tadi.
Mangsa maut berusia 63 tahun itu dikenal pasti sebagai Ng Geok Choo; anaknya, Lee Chiw Yong, 30 dan cucunya, Chen Si Jing, 11.
Semasa kejadian, empat mangsa dilaporkan terperangkap di rumah berkenaan namun seorang remaja lelaki berusia 12 tahun berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Faiz Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan 24 anggota bersama empat jentera ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, api sudah marak dan memusnahkan hampir 80 peratus rumah berstruktur kekal itu.
“Mangsa yang berjaya diselamatkan adalah Chen Yu Rong berusia 12 yang juga cucu kepada mangsa maut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kebakaran itu menyebabkan remaja lelaki berkenaan melecur pada bahagian muka dan tangan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut.
Malangnya, tiga mangsa iaitu seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia akibat melecur teruk di seluruh badan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |