
Tiada pencemaran industri ke Sungai Kabul – SPAN
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesahkan tidak berlaku pelepasan sisa-sisa berjadual industri ke dalam Sungai Kabul, Beranang yang menyebabkan air sungai itu bertukar warna sejak beberapa hari lalu.
SPAN dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan dan pemantauan telah dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan semalam di lokasi-lokasi yang dikenal pasti berisiko berhampiran sungai utama.
“Sepanjang rondaan dan pemeriksaan, Bahagian Penguatkuasaan SPAN mendapati setakat ini tiada pelepasan sisa-sisa berjadual industri terlepas ke sumber air sekaligus menjadi penyumbang kepada insiden gangguan bekalan air.
“Pemain-pemain industri dan pengusaha-pengusaha dinasihatkan agar lebih peka dan memastikan tiada bahan-bahan terlarang yang boleh mengakibatkan pencemaran air dilepaskan kedalam sumber air mentah,” katanya.

Dua hari lalu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesyaki sebuah premis kilang di kawasan perindustrian Beranang menjadi punca air Sungai Kabul, bertukar menjadi merah jambu.
Susulan kejadian itu juga, LUAS turut mengaktifkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air kerana pencemaran dikhuatiri memberi kesan kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.
Sehubungan itu, SPAN memberi amaran sebarang kesalahan berkaitan sumber air boleh disiasat di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukan hukuman penjara dan denda.
“Orang ramai diminta untuk memberi maklum balas kepada operator air dan pembetungan sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan yang disyaki berkaitan dengan jenayah mencemarkan bekalan air,” katanya.
Sebarang aduan atau maklum balas berkenaan kes pencemaran boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp ke nombor 013-3885000 atau e-mel ke alamat aduan@span.gov.my
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |