
Pentas Sunda: Warisan geologi yang tersingkap di Zaman Plestosen
KUALA LUMPUR – Pada era Plestosen iaitu antara dua juta hingga 12,000 tahun lalu, kawasan Asia Tenggara pernah berkongsi satu daratan sebelum dipisahkan dengan lautan.
Disebut sebagai Pentas Sunda atau Sundaland, bentuk geografi di rantau ini meliputi sebahagian besar Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Borneo dan Filipina.
Muncul pada zaman ais ketika paras air laut lebih rendah, Sundaland menjadi bukti nyata bagaimana paras laut dan iklim boleh berubah dari semasa ke semasa dan meninggalkan kesan besar terhadap geografinya.
Menerusi satu hantaran yang dikongsikan pengguna Facebook, Zamir Mohyedin, Sundaland menjadi cerminan penting bagaimana perubahan bumi mempengaruhi tamadun dan ekosistem.
“Sundaland pernah tersingkap sekitar Zaman Plestosen yang mana kebanyakan selat dan lautan (sekarang) dipenuhi daratan.

“Air laut pernah susut hingga 120 meter berbanding paras hari ini sehingga menampakkan banyak daratan di Asia Tenggara.
“Dari kepulauan Jawa hinggalah ke kepulauan Filipina bersambung dengan daratan,” tulis beliau.
Menurut Zamer lagi, Sundaland mempunyai keluasan sehingga 1,800,000 km persegi.
“Jika dibuat perbandingan, Malaysia mempunyai keluasan sekitar 330,000 km persegi.
“Kita mungkin akan dapat saksikan kembali pentas Sunda pada 50,000 tahun akan datang apabila kitaran glasier kembali.
“Kalau ikut corak iklim sekarang dengan aktiviti manusia, boleh jadi 100,000 tahun akan datang baru zaman glasier datang semula,” jelasnya.
Status tersebut menerima lebih 1,000 reaksi, 150 komen dan 115 perkongsian.
Bagaimanapun, ada netizen turut mempersoalkan maklumat tersebut.
“100 ribu tahun tak sempat dah. Duduk dekat Padang Mahsyar sebab umur umat Nabi Muhammad SAW tak smpai 1,500 tahun,” komen Wake Up Tiger.
Tidak ketinggalan ada juga netizen yang meninggal komen berunsur ‘lelucon’.
“Kalau macam ni, tiket balik Sabah murah. Tak macam sekarang,” tulis Hafizuddin Hilmi.
Apa yang pasti, kajian mengenai Sundaland bukan sahaja memberikan gambaran tentang perubahan geologi pada masa lalu, tetapi juga membantu para penyelidik memahami bagaimana perubahan iklim boleh mempengaruhi bentuk muka bumi dan kehidupan manusia di masa depan.
Sundaland menjadi bukti nyata bagaimana bumi sentiasa mengalami perubahan besar, membawa kesedaran tentang betapa pentingnya menjaga keseimbangan alam sekitar demi generasi akan datang.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune