Berita Semasa

MyCC tumpaskan lima kes kartel pengeluar makanan ayam, kenakan denda RM415.5 juta – Armizan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya menumpaskan lima kes kartel pengeluar makanan ayam utama dengan jumlah penalti sebanyak RM415.5 juta pada tahun lalu.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, sejumlah RM1.5 juta penalti kewangan turut dikenakan terhadap 15 syarikat kerana terlibat dalam kartel tipuan bida.

“Dalam masa yang sama, MyCC telah mengeluarkan tiga keputusan cadangan terhadap 92 syarikat lain dan satu keputusan akhir terhadap tujuh syarikat berdasarkan bukti-bukti keterlibatan dalam kartel tipuan bida,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Armizan berkata, MyCC terus giat menyiasat lebih 500 syarikat yang disyaki terlibat dalam kartel tipuan bida berkaitan tender-tender kerajaan bernilai RM2.3 billion.

Justeru itu, beliau berkata, dalam usaha memperkasa gerak kerja MyCC untuk memecahkan tembok penguasaan kartel, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM27 juta kepada MyCC dalam Belanjawan 2025, iaitu jumlah tertinggi sejak penubuhannya pada tahun 2011.

“Dari aspek perundangan pula, MyCC juga sedang dalam proses cadangan untuk melaksanakan pindaan kepada Akta Persaingan 2010. Antara cadangan pindaan termasuklah mengenakan penalti yang lebih berat serta pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat,” katanya.

Tambah Armizan, MyCC juga akan memperkenalkan rejim kawalan penggabungan yang bertujuan untuk mengelak pembentukan awal kartel dan monopoli baharu.

Simposium Undang-Undang Persaingan bertajuk “Behind Closed Doors: The Hidden Drivers of Market Distortion” bertujuan mendalami isu-isu kritikal terkait persaingan.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui MyCC mengadakan Simposium Undang-Undang Persaingan bertajuk “Behind Closed Doors: The Hidden Drivers of Market Distortion”.

Armizan berkata, simposium itu bertujuan mendalami isu-isu kritikal terkait persaingan seperti tipuan bida dalam perolehan awam, kenaikan harga makanan, rejim kawalan penggabungan dan dominasi pemain-pemain ekonomi digital.

“Sebagai badan bebas yang ditubuhkan pada tahun 2011, MyCC terus giat menjalankan kefungsian utamanya untuk melindungi proses persaingan bagi kepentingan perniagaan, pengguna dan ekonomi dengan menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Anti Persaingan 2010.

“Ini termasuklah membanteras amalan anti persaingan seperti kartel dan monopoli bermasalah yang menyumbang kepada peningkatan kos sara
hidup rakyat,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button