
Hukuman penjara ke atas bekas Majistret kekal 58 tahun, denda RM1.05 Juta
KUANTAN – Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini mengekalkan hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta terhadap bekas majistret, Mohamad Amin Shahul Hamid, 44, atas enam pertuduhan rasuah.
Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menolak rayuan Mohamad Amin untuk mengetepikan hukuman dan sabitan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada Mac 2022.
Bagaimanapun, hukuman penjara ditangguhkan selepas perayu memohon membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan, dengan jaminan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000.
Menurut Mohd Radzi, keputusan Mahkamah Sesyen adalah adil, saksama, dan sejajar dengan kehendak Akta SPRM 2009, menurut Sinar Harian.
Mohamad Amin sebelum ini didapati bersalah meminta suapan RM100,000 dan menerima RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo sebagai dorongan untuk mengenakan denda dan mengelak hukuman penjara ke atasnya dalam kes memiliki rokok seludup.
Kesalahan dilakukan di Lipis dan Raub antara Julai hingga Oktober 2019. Hukuman penjara 58 tahun yang dijatuhkan diperintahkan berjalan serentak selama 12 tahun. Jika gagal membayar denda, hukuman penjara tambahan selama 72 bulan dikenakan.
Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ezuain Farhana Ahmad, manakala perayu diwakili peguam R Arvend dan Arvind Santhanam.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |