Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Ejen insurans berputih mata ditipu lebih setengah juta

JEMPOL – Gara-gara mahu meraih keuntungan besar dalam masa singkat, seorang ejen insuran bukan sahaja kehilangan ratusan ribu ringgit wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahkan terpaksa menanggung hutang dengan rakan selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.

Itu nasib yang menimpa seorang lelaki berusia 61 tahun dari Bahau yang kerugian RM666,546 setelah diperdaya skim pelaburan tidak wujud di Facebook pada September tahun lalu.

Sebahagian daripada wang yang dilaburkan mangsa adalah wang simpanan KWSP manakala sebahagian lagi dengan nilai ratusan ribu ringgit dipinjam dari rakannya.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa telah ditawarkan pulangan pelaburan yang tinggi dengan nilai dolar Amerika Syarikat dalam masa yang singkat.

“Pada kadar pelaburan sebanyak RM250,000, mangsa dijanjikan dengan pulangan sebanyak RM1.5 juta.

“Mangsa diminta membuat transaksi pertama sebanyak RM4,220 pada 5 Oktober 2024 sebelum melakukan 24 transaksi lagi antara 5 Oktober tahun lalu sehingga 7 Januari lalu.

“Transaksi tersebut dilakukan ke dalam lima akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun kata Chang Hook, sehingga Januari lalu, mangsa tidak diberikan sebarang pulang sebaliknya terus diminta melakukan pemindahan wang bagi pelbagai urusan.

Katanya, mangsa juga sanggup meminjam wang dari rakannya dengan alasan untuk digunakan bagi tujuan derma kepada badan kebajikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dan terlibat dalam transaksi dalam talian dengan individu yang tidak dikenali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button