Berita Semasa

Sambutan Krismas: Polis rakam keterangan Nga Kor Ming

PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming hari ini diambil keterangannya oleh polis berhubung sambutan Krismas yang diadakan di pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, baru-baru ini.

Memetik laporan FMT, keterangan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan selama 90 minit itu diambil pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di pejabatnya di KPKT.

Kor Ming berkata, keterangannya diambil susulan laporan yang dibuat PAS, namun polis tidak dapat memaklumkan undang-undang yang digunakan untuk menyiasatnya.

“Ini kerana kementerian meraikan sambutan Krismas ketika Hari Krismas.

“Saya pelik kerana sudah pasti kami tidak merayakan Deepavali ketika Krismas atau Aidilfitri ketika Tahun Baharu Cina?

“Kebiasaannya kami meraikan Krismas pada Hari Krismas. Mereka yang menyanyikan lagu Krismas terdiri daripada individu Kristian Kadazandusun dari Sabah dan Sarawak,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Katanya, susulan polis mengambil keterangannya, beliau terpaksa membatalkan tiga program yang sepatut dihadirinya.

Sebelum ini, sebanyak 69 laporan polis dibuat terhadap beliau berhubung sambutan Krismas secara terbuka di premis kementerian berkenaan yang didakwa turut membabitkan kakitangan beragama Islam.

Pemuda PAS dilaporkan berkata, laporan polis turut dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button