Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pengarah syarikat disyaki terima rasuah RM1 Juta direman SPRM

PUTRAJAYA – Seorang pengarah syarikat berusia dalam lingkungan 50-an ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta.

Rasuah itu dipercayai diterima sebagai balasan memberikan kerja-kerja subkontraktor berkaitan tender perkhidmatan membekal makanan dan minuman kepada para pekerja bernilai RM900 juta.

Perintah reman sehingga 20 Januari 2025 itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada Ogos 2023 yang mana wang rasuah dikesan dipindahkan ke akaun syarikat miliknya.

“Suspek juga disyaki mengaku sebagai kontraktor utama bagi tender pembekalan makanan dan minuman untuk sebuah loji penapisan minyak selama lima tahun, walhal tender itu tidak wujud,” kata sumber.

Menurut sumber, suspek yang dipercayai menyamar sebagai Datuk itu turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penipuan.

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, mengesahkan tangkapan tersebut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. Kami sedang menjalankan siasatan rapi untuk mengumpul bukti lanjut,” katanya.

SPRM menyeru orang ramai agar sentiasa peka dan melaporkan sebarang kegiatan rasuah bagi memastikan integriti sektor awam dan swasta terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button