
NexV Manufacturing – Global NEV jalin kerjasama bangunkan industri EV
REMBAU – NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) dan Global NEV Technology Sdn Bhd (GNEV) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka kerjasama strategik dalam pemasangan dan pembuatan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) di Malaysia.
Menurut kenyataan bersama, kerjasama itu bakal menggabungkan keupayaan pembuatan canggih NexV dengan kepakaran GNEV dalam pengimportan dan pengedaran.
Fokus awal adalah pada operasi pemasangan “Knocked Down” (KD), dengan rancangan untuk menandatangani perjanjian pemasangan kontrak menjelang pertengahan Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif NexV Manufacturing, Lim Kwee Shyan berkata, kerjasama itu adalah langkah signifikan ke arah memajukan teknologi hijau di Malaysia.
“MoU itu melambangkan komitmen kami untuk menetapkan penanda aras baharu dalam pemasangan dan pembuatan NEV di rantau ini.
“Ia juga membuka peluang besar untuk pertumbuhan industri ini,” katanya di sini hari ini.
Projek itu akan bermula dengan pemasangan van elektrik jenama GNEV yang dihasilkan oleh LiuZhou Wuling dan dijangka memenuhi permintaan kenderaan elektrik komersial yang semakin meningkat di rantau ASEAN.
Van EV pertama itu dijangka dilancarkan dari kilang NexV di Chembong, Negeri Sembilan, seawal suku pertama 2026.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif GNEV, Andrew Thu Pong Fan berkata, pihaknya yakin kerjasama itu mampu menyumbang kepada matlamat Malaysia menjadi hab serantau bagi teknologi mampan.
“Kami berhasrat membawa penyelesaian NEV inovatif ke pasaran sambil menyokong pembangunan bakat tempatan dan ekosistem teknologi hijau di negara ini,” katanya lagi.
Kilang pembuatan NEV di Chembong yang dijangka mula beroperasi pada suku kedua tahun ini akan memberi impak besar kepada ekonomi dengan peluang pekerjaan yang signifikan untuk penduduk tempatan.
GNEV turut merancang pemindahan teknologi selama 15 tahun dari China ke Malaysia, termasuk pembangunan Pusat Teknologi EV yang bakal menjadi pemacu utama transformasi industri automotif serantau.
Projek itu bukan sahaja selaras dengan visi hijau negara, tetapi juga menjadi pemangkin kepada inovasi dan daya saing dalam sektor automotif mampan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |