
Kesejahteraan anggota ATM, memodenkan aset ketenteraan jadi fokus utama tahun ini
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan komited untuk terus memperkukuh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan meningkatkan kebajikan warga pertahanan untuk tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan peruntukan sebanyak RM21.13 bilion bagi tahun ini yang meningkat sebanyak RM1.4 bilion berbanding tahun sebelumnya, kementerian ini diletakkan dalam kelompok tiga penerima peruntukan tertinggi negara.
Menurut beliau, fokus utama kementerian adalah memperbaiki aspek kesejahteraan anggota ATM, memodenkan aset ketenteraan dan memperkukuh diplomasi pertahanan.
“Sebanyak RM12 bilion diperuntukkan untuk pembelian aset strategik seperti meriam Pack-Howitzer, misil Surface to Surface, dan sistem pesawat tanpa pemandu,” katanya ketika berucap sempena Perutusan Tahun Baharu 2025 di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, kementeriannya juga akan memastikan kemajuan projek pembinaan kapal tempur seperti LCS1 dan LCS2 berjalan lancar, di samping menambah keupayaan pesawat rondaan maritim.
Mohamed Khaled berkata, langkah-langkah untuk menarik dan memanfaatkan bakat terbaik, termasuk semakan semula keberkesanan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) dan pemberian biasiswa khas untuk pelajar dalam bidang kritikal akan disediakan.
“Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti UiTM dan UPNM akan diperkukuh bagi melaksanakan program Work Based Learning (WBL) yang memberi kelayakan diploma kepada anggota ATM,” katanya lagi.
Katanya, kesejahteraan anggota ATM turut menjadi keutamaan antaranya inisiatif yang diumumkan adalah peningkatan faedah hilang upaya,
Simpanan Pendidikan Madani untuk anak-anak anggota ATM, serta pemberian Chromebook percuma kepada pelajar tingkatan lima.
Mohamed Khaled berkata, usaha turut diambil untuk memodenkan kemudahan di kem tentera dengan peruntukan RM426 juta bagi penyelenggaraan unit perumahan.
“Kementerian Pertahanan akan terus memperkukuh kerjasama dengan negara-negara strategik seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Arab Saudi melalui pelbagai memorandum persefahaman.
“Diplomasi pertahanan dijangka memainkan peranan penting sepanjang tahun ini, terutamanya ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dengan matlamat mengukuhkan kestabilan serantau,” tambahnya lagi.
Mohamed Khaled turut menegaskan komitmen kementerian untuk menyokong generasi muda melalui pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Beliau melihat program itu sebagai medium penting dalam menyemai semangat patriotisme dan kesedaran pertahanan dalam kalangan belia.
Selain itu, katanya, program kerjasama awam-tentera (CIMIC) akan diperluas dengan peruntukan RM10 juta, menumpukan kepada usaha gotong-royong dan membantu masyarakat.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada anggota ATM atas pengorbanan mereka mempertahankan negara, termasuk penyertaan dalam misi pengaman antarabangsa seperti UNIFIL.
Beliau turut memberi jaminan bahawa ATM akan terus menerima sokongan padu kerajaan demi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
Perutusan itu menggariskan hala tuju jelas untuk memperkasakan ATM serta memastikan kebajikan warga pertahanan terus terpelihara.
Dengan komitmen itu Kementerian Pertahanan bertekad menjadikan tahun 2025 sebagai tahun yang lebih cemerlang untuk pertahanan negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |