
Kemajuan projek pembinaan lorong tambahan PLUS Sedenak-Kulai capai 5.02 peratus – Alexander
KULAI – Status kerja-kerja projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) laluan Sedenak-Kulai, Johor, dilaporkan berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, setakat 31 Disember 2024, status kemajuan projek pembinaan yang bermula sejak Julai tahun lalu itu telah mencapai 5.02 peratus.
“Kerja-kerja yang sedang giat dijalankan di lokasi adalah kerja-kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, struktur perparitan, pengalihan utiliti dan pelan pengurusan trafik,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Alexander bersama Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Seri Ir. Hasni Mohamad serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir telah turun padang bagi meninjau kemajuan projek berkenaan.
Turut hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir. Sazali Harun serta Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar dan pegawai-pegawai kanan KKR.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, selepas kerja-kerja tanah di laluan Sedenak – Kulai arah selatan selesai, kerja-kerja pembinaan lorong tambahan di lokasi tersebut akan dimulakan secara berperingkat.
“Keseluruhan kerja pembinaan lorong tambahan ini dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2027. Kos keseluruhan Fasa 1 ini adalah sebanyak RM515 juta di mana kos bagi jajaran ini (Sedenak-Kulai) ialah RM249 juta,” katanya.
Alexender menambah, bagi memastikan kelancaran trafik semasa musim perayaan, terutama sempena Tahun Baharu Cina, Alexander mengarahkan PLUS agar memastikan tiada penutupan lorong berlaku.
“Saya turut mengarahkan pihak PLUS agar memastikan kelancaran trafik di lokasi semasa melaksanakan semua kerja-kerja di tapak pada musim perayaan nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Alexender berkata, secara keseluruhan, projek pembinaan lorong tambahan yang akan dilebarkan dari dua lorong ke tiga lorong ini dijalankan secara berfasa dari fasa satu ke fasa tiga iaitu dari Senai (Utara) ke Machap.
“Lokasi tinjauan hari ini adalah sebahagian daripada jajaran di bawah Fasa 1: Senai (Utara) ke Sedenak,” katanya.
Sebagai rekod, projek berkenaan merupakan inisiatif kerajaan untuk menangani kesesakan lalu lintas di PLUS yang sering berlaku pada waktu puncak dan musim perayaan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |