
Jabatan Perikanan nasihat berjaga-jaga kutip kerang di Pantai Sura
DUNGUN – Pesta Kutip Kerang di Pantai Sura kembali menjadi tumpuan penduduk tempatan selepas fenomena itu berulang tahun ini.
Jabatan Perikanan negeri Terengganu, menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menikmati kerang yang dikutip.
Pengarah Perikanannya, Ruzaidi Mamat berkata, sampel air dan kerang yang diambil pada 15 Januari lalu menunjukkan tiada kehadiran plankton penghasil biotoksin.
“Analisis bakteria yang dijalankan oleh Makmal Biosekuriti Perikanan Kuantan masih diteruskan dengan keputusan penuh dijangka diumumkan dalam masa tiga hari,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Merujuk kepada kajian sebelumnya pada 2014, 2016, 2019 dan 2021, Jabatan Perikanan mendedahkan tahap bakteria Fecal coliform dan Escherichia coli (E. coli) dalam sampel kerang melebihi had piawaian.
Ruzaidi berkata, kerang yang diklasifikasikan sebagai Kelas B itu memerlukan proses pemasakan sempurna sebelum dimakan.
“Bakteria vibrio parahaemolyticus yang lazim terdapat di persekitaran air laut turut dikesan dalam sampel terdahulu, menambahkan kepentingan pematuhan kepada langkah keselamatan makanan,” katanya lagi.
Fenomena kerang dihanyutkan ke pantai akibat ombak kuat itu pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.
Beliau turut mengingatkan agar orang ramai sentiasa memasak kerang dengan sempurna sebelum dimakan bagi mengelak sebarang risiko kesihatan.
“Keselamatan pengguna adalah keutamaan kami dan kami menasihatkan semua pengunjung untuk berhati-hati ketika menikmati hasil laut yang dikutip,” katanya lagi.
Pesta Kutip Kerang itu telah menarik perhatian ramai, namun Jabatan Perikanan mengingatkan penduduk supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebersihan dalam menikmati hasil laut.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune