
Gencatan senjata batu loncatan wujudkan negara Palestin yang berdaulat, sah dan bebas – PM Anwar
PUTRAJAYA – Gencatan senjata di Gaza mesti dijadikan batu loncatan ke arah menubuhkan negara Palestin yang berdaulat, sah dan bebas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komuniti antarabangsa mesti memastikan gencatan senjata itu dipatuhi bagi membuka jalan perbincangan fasa seterusnya yang akan membawa kepada ketenangan berkekalan dan pembinaan semula Gaza.
“Justeru pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza yang dijadualkan berkuat kuasa pada hari Ahad ini (adalah) sangat dialu-alukan.
“Langkah penting ini memberikan kelegaan yang sangat diperlukan bagi rakyat Gaza yang sekian lama menanggung penderitaan amat berat.
“Saya mengiktiraf usaha Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) dalam menjadi perantara perjanjian ini.
“Saya juga memuji Presiden terpilih AS, Donald Trump, atas peranannya dalam merealisasikan rundingan ini,” kata Anwar dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Abdulrahman mengumumkan kejayaan pengantara mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, dengan pelaksanaannya dijadual bermula Ahad ini.
Perdana Menteri kemudian menambah, beliau akan menghubungi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, untuk mempercepatkan pelaksanaan rancangan pembinaan semula Palestin sperti yang dipersetujui semasa lawatannya ke Malaysia, baru-baru ini.
“Kerjasama dan sokongan daripada rakan-rakan di Asia Timur amat penting bagi memastikan pembinaan semula Gaza berjalan dengan cepat dan berkesan.
“Walaupun pembinaan semula adalah keutamaan mendesak, adalah penting untuk mengiktiraf bahawa kehilangan lebih 46,700 nyawa rakyat Palestin dan pemindahan lebih dua juta orang tidak boleh dan tidak harus dilupakan.
“Keadilan dan tanggungjawab terhadap tindakan yang diambil sepanjang konflik ini tetap menjadi perkara yang kritikal,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune