Sukan

Krisis pemilihan FAM: risiko tindakan tegas FIFA

KUALA LUMPUR – Peguam sukan, Zhafri Aminurashid, memberi amaran bahawa pertikaian berterusan mengenai proses kongres dan pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh mengundang tindakan tegas daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang berpotensi memberi kesan besar kepada industri bola sepak negara.

Zhafri berkata, ahli gabungan yang tidak berpuas hati dengan proses pemilihan FAM boleh membuat aduan kepada FIFA sekiranya mendapati Kod Pemilihan FAM 2024 telah dilanggar.

“Jika ahli yang terjejas mengemukakan bukti kukuh kepada badan induk antarabangsa itu, Fifa boleh mengarahkan siasatan bebas terhadap kongres FAM.

“Sekiranya berlaku pelanggaran serius, FIFA mungkin mengarahkan pemilihan semula, menggantung FAM sehingga pemilihan baharu selesai atau melantik pentadbiran sementara bagi FAM,” katanya memetik laporan NST.

Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan reputasi Malaysia dalam bola sepak antarabangsa, malah menjejaskan keyakinan ahli gabungan terhadap badan itu.

Pertikaian itu turut diperkuatkan dengan aduan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA) yang mendakwa tidak menerima borang pencalonan kedua, manakala Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dilaporkan menerimanya.

“Jika dakwaan itu terbukti, ia mencerminkan amalan tidak konsistenan dalam prosedur yang boleh mencabar kesahihan keputusan pemilihan,” katanya.

“FIFA mungkin menganggap perkara itu sebagai pelanggaran keadilan asas dan ia perlu diselesaikan sebelum kongres berlangsung,” katanya lagi.

Penggantungan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) turut menambahkan kerumitan situasi.

PFA digantung kerana gagal mematuhi arahan FIFA dan FAM manakala Kafa digantung akibat pelanggaran perlembagaan dalam proses pemilihan terdahulu.

“Penggantungan PFA berasaskan ketidakpatuhan yang berulang terhadap arahan FIFA dan FAM, manakala Kafa perlu mengadakan pemilihan baharu dalam tempoh dua bulan untuk menggugurkan penggantungan itu,” katanya lagi.

Zhafri turut memberi amaran kelewatan yang berpanjangan dalam menangani isu itu akan mencetuskan persepsi negatif terhadap tadbir urus FAM.

Beliau berkata, prinsip keadilan dan ketelusan adalah teras dalam memastikan integriti proses pemilihan dan menyeru FAM bertindak segera untuk menangani isu itu.

“FAM perlu bertindak pantas untuk memulihkan kepercayaan ahli gabungan.

“Proses yang adil dan telus bukan sahaja penting untuk mengelakkan tindakan FIFA, tetapi juga demi menjaga integriti bola sepak Malaysia,” tegasnya.

FIFA dikenali dengan ketegasan terhadap persatuan kebangsaan yang melanggar peraturan, amaran itu menjadi peringatan penting kepada FAM supaya menyelesaikan pertikaian sedia ada dengan segera dan berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button