
Tarikh operasi Aerotrain KLIA belum ditetapkan – Anthony Loke
PUTRAJAYA – Kontraktor yang bertanggungjawab membaik pulih sistem pengangkutan automatik Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih belum memberikan tarikh pengoperasian semula sistem tersebut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, meskipun sebelum itu kontraktor menyatakan projek berkenaan dapat disiapkan pada 31 Januari tahun ini, ia bagaimanapun masih berada di peringkat ujian.
“Kontraktor belum memberikan tarikh pasti hanya mengatakan boleh menyiapkannya menjelang 31 Januari,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.
Anthony menjelaskan sistem Aerotrain kini berada dalam fasa ujian dinamik sebelum melalui ujian penuh dan proses integrasi sistem.
Menurutnya, proses itu memerlukan ketelitian bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan sistem apabila beroperasi semula.
Pada September tahun lalu, Anthony pernah mengumumkan bahawa perkhidmatan Aerotrain dijangka beroperasi semula pada 31 Januari 2025.
Projek itu dilaporkan telah dipercepatkan daripada tarikh asal yang dirancang siap pada 31 Mac 2025.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataannya pada 18 Jun 2024 memaklumkan jadual baharu itu dimuktamadkan melalui kontrak yang ditandatangani pada 14 Jun 2024 antara Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd dan usaha sama IJMC-Pestech JV.
Projek itu dilaksanakan oleh MA Sepang, anak syarikat milik penuh MAHB.
Sidang media turut memaklumkan bahawa MAHB komited untuk memastikan penyelesaian projek berjalan mengikut jadual demi kemudahan penumpang dan kelancaran operasi lapangan terbang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |