Berita Semasa

Sarawak hargai kenyataan PM iktiraf peranan Petros – Abang Jo

KUCHING – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau amat menghargai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam yang mengiktiraf peranan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sebagai agregator gas tunggal di negeri berkenaan.

Beliau turut berkata, kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, serta Petroliam Nasional (Petronas) dengan Petros akan dapat memacu usaha menjadikan Malaysia, khususnya Sarawak, sebagai sebuah hab tenaga.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan yang mendalam kepada Perdana Menteri (Anwar) atas kenyataan yang dibuat beliau semasa sidang media di Abu Dhabi berkenaan isu Petronas-Petros, yang antaranya dengan jelas mengiktiraf dan mengakui Petros sebagai agregator gas tunggal di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak juga menghargai peranan kerajaan Persekutuan dan Petronas dalam menyelesaikan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Abang Johari turut berkata, kerajaan Sarawak dan Petros akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan Petronas bagi memastikan Petros menjalankan peranannya sebagai agregator gas tunggal tanpa gangguan kepada bekalan gas untuk pengguna, termasuk pelabur.

“Langkah ini akan meningkatkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, Petronas, serta Petros dalam memacu usaha menjadikan Malaysia, khususnya Sarawak, sebagai hab tenaga,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan, kerjasama ini juga akan meningkatkan daya saing global Malaysia dalam menarik pelaburan, penyelidikan teknologi, dan industri baharu, khususnya derivatif petrokimia, serta sejajar dengan penciptaan pekerjaan bergaji tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button