
Malaysia sudah kemuka permohonan tambah kuota jemaah haji
PUTRAJAYA – Malaysia telah mengemukakan permohonan tambahan kuota haji kepada Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan hari ini berkata, permohonan itu dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dalam pertemuan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah di Jeddah, baru-baru ini.
Pertemuan tersebut diadakan sempena Simposium dan Pameran Haji 1446H anjuran kerajaan Arab Saudi dari 13 hingga 16 Januari di Superdome, Jeddah, yang menghimpunkan pengendali operasi haji dan umrah dari seluruh dunia.
Difahamkan, Malaysia memohon tambahan kuota sebanyak 2,000 jemaah.
Bagi musim haji kali ini, kuota jemaah dari Malaysia yang dibenarkan adalah seramai 31,600 jemaah.
Selain permohonan kuota tambahan, Malaysia turut menandatangani Memorandum Urusan Haji bersama kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuh lagi kerjasama dalam aspek pengurusan jemaah haji untuk musim 1446H/2025M.
Mohd Naim berkata, memorandum ini menjadi bukti komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada para bakal dhuyufurrahman khusus untuk musim haji kali ini.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune