
Kor Ming sindir pihak besarkan isu ‘sandwich ham’
KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, menyindir segelintir pihak yang didakwa membesar-besarkan isu penjualan ‘sandwich ham’ yang memaparkan logo halal di sebuah kedai serbaneka dalam kampus Universiti Malaya (UM).
Menurut Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ham hanya merujuk kepada daging yang telah diawet.
“Kita ada ham ayam dan turkey ham, yang selamat dimakan. Begitu juga dengan root beer, yang diperbuat daripada akar sassafras, ia bukan alkohol dan boleh diminum,” katanya dalam satu hantaran di X.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, sebelum ini mempersoalkan sijil halal untuk sandwic tersebut, selain turut membangkitkan kontroversi sebelum ini yang melibatkan penjualan stokin kalimah “Allah” oleh kedai serbaneka itu.
Akmal telah dikritik oleh Naib Presiden MCA, Wee Jeck Seng dan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, yang menasihati rakannya dari Barisan Nasional itu (BN) supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan.
Akmal membalas, kesalahan menyalahgunakan logo halal adalah perkara yang serius dan mempunyai implikasi besar terhadap umat Islam.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fahmi Zainol turut mempertahankan Akmal, dengan mengatakan bahawa kritikan keras Ketua Pemuda UMNO itu tidak ada kaitan dengan keuntungan politik, tetapi lebih kepada menghormati kesucian Islam.
Kelmarin, KK Mart mengumumkan telah menggantung semua urusan perniagaan dengan pembekal sandwic yang dijual di salah satu cawangan mereka di Universiti Malaya selepas timbul kebimbangan mengenai penggunaan logo halal pada pembungkusan sandwic tersebut.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |