Berita Semasa

Kementerian Pertahanan nafi dakwaan pemberhentian semua panglima ATM disebabkan kontrak helikopter

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan yang tular di media sosial berkenaan  pemberhentian panglima dan pertukaran pertukaran pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disebabkan oleh kontrak helikopter RM16 bilion.

Menurut Kementerian Pertahanan, susulan itu satu laporan polis dan laporan berita palsu melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat.

“Susulan itu, Kementerian Pertahanan dengan ini menafikan kebenaran kenyataan berkenaan dan mengesahkan bahawa tiada saling perkaitan antara pemberhentian atau pertukaran panglima-panglima ATM dengan proses pajakan helikopter seperti yang dihebahkan.

“Satu laporan berita palsu melalui MCMC dan laporan polis juga telah dibuat sebagai tindakan untuk memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pihak yang menghebahkan maklumat palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular dakwaan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Panglima Tentera Darat (PTD), Panglima Tentera Laut (PTL) dan Panglima Tentera Udara (PTU) serta pertukaran pegawai-pegawai tertinggi ATM disebabkan oleh kontrak helikopter RM16 bilion.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan turut menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tular di media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi negatif kepada pertahanan negara yang boleh menggugat keamanan.

“Adalah ditegaskan bahawa menyebarkan berita palsu adalah merupakan kesalahan undang-undang yang boleh didakwa, antara lain di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button