
Harimau Malaya umpama ‘gergasi yang sedang tidur’ – Rob Friend
PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Robert Douglas Friend mengakui teruja dapat menjadi sebahagian daripada revolusi Harimau Malaya.
Menurut Friend dalam satu kenyataan hari ini, beliau menganggap Harimau Malaya umpama ‘gergasi yang sedang tidur’ dan menyifatkan peluang ini sebagai sesuatu yang unik.
“Ini adalah satu peluang yang baik buat diri saya. Saya sangat teruja untuk menyertai revolusi skuad Harimau Malaya. Malaysia umpama sang gergasi yang sedang tidur.
“Saya sudah bersedia untuk bekerjasama dengan FAM, pemegang taruh, seterusnya bersama-sama membangunkan sukan bola sepak di negara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Bekas pemain kebangsaan Kanada itu yang turut dikenali sebagai Rob Friend, turut mengakui beliau teruja dengan revolusi yang dibawa oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam memperkasa skuad kebangsaan.
“Apa yang membuatkan saya teruja adalah visi FAM dan visi Tunku Mahkota Ismail. Oleh sebab itulah, saya berada di sini. Baginda adalah orang yang paling berwawasan yang pernah saya temui.
“Ketika saya bertemu dengan Tunku Mahkota Ismail, baginda menjelaskan mengenai projek revolusi skuad Harimau Malaya. Pada pendapat saya, ini adalah projek paling mengujakan dalam industri bola sepak global.
“Saya turut melihat bahawa ini adalah peluang yang unik untuk membangunkan bola sepak di Malaysia,” katanya lagi.
Friend diumumkan sebagai CEO Harimau Malaya pada 31 Disember lalu, melaporkan diri di Wisma FAM, semalam bersama Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr Craig Duncan.
Beliau hadir dengan portfolio hebat menerusi pembabitannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas bersara sebagai pemain pada Disember 2014.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |