
Emraz Travel & Tours nafi tuduhan kaitan dengan isu jemaah terkandas
KUALA LUMPUR – Emraz Travel & Tours Sdn Bhd tampil menafikan sebarang kaitan dengan insiden lebih 300 jemaah umrah terkandas yang berlaku semalam.
Dalam kenyataan di laman Facebook syarikat, Emraz menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan bertujuan mencemarkan reputasi syarikat.
“Kami ingin menjelaskan bahawa Emraz tidak mempunyai sebarang hubungan dengan agensi umrah yang terlibat dalam insiden itu.
Tuduhan tersebut adalah tidak benar, dan kami tidak pernah mengenali pihak yang terbabit,” menurut kenyataan itu.
Emraz turut mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah dengan niat merosakkan usaha syarikat dalam menyelesaikan isu pelanggan.
“Kami menyeru semua pihak agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tuduhan palsu.
Fokus kami kini adalah untuk memastikan semua hak pelanggan yang terjejas dapat dipulihkan dengan sebaik mungkin,” tambah kenyataan itu.
Syarikat tersebut memaklumkan beberapa pelan pemulihan sedang dilaksanakan, termasuk proses pemulangan wang serta usaha menerbangkan semula jemaah yang tertangguh.
“Kami komited untuk menyelesaikan segala isu itu, walaupun ia bukan tugas yang mudah.
Semua rekod pelanggan berada dalam simpanan kami, dan kami sedang bekerja keras demi memastikan penyelesaian terbaik untuk semua pihak,” ujar kenyataan itu.
Emraz turut memberi amaran kepada pihak yang cuba menggagalkan usaha pemulihan mereka bahawa tindakan tersebut hanya akan menambah kesukaran kepada semua pihak yang terlibat.
“Kami percaya bahawa kebenaran akan terserlah dan usaha kami untuk memulihkan keadaan ini akan berjaya dengan izin Allah SWT,” kata syarikat itu lagi.
Emraz turut memohon maaf atas kelewatan memberikan maklum balas kepada pelanggan dan berharap tahun 2025 akan membawa penyelesaian yang lebih baik kepada semua yang terlibat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |