Berita Semasa

Batik Air kini terbang terus ke Miri, gerbang keindahan Sarawak

MIRI – Batik Air secara rasmi melancarkan laluan penerbangan terus antara Kuala Lumpur ke Miri hari ini, menjadikan Miri destinasi keempat syarikat penerbangan itu di Sarawak selepas Kuching, Sibu dan Bintulu.

Majlis pelancaran penerbangan sulung itu berlangsung di Lapangan Terbang Miri (MYY) dengan sambutan meriah, termasuk acara kalungan manik oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) sebagai simbolik budaya dan hospitaliti negeri tersebut.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, laluan baharu itu bakal meningkatkan kemudahan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Sarawak, selain menyokong usaha mempromosikan pelancongan negeri itu.

“Dengan pertambahan permintaan perjalanan udara ke Miri, kami telah berbincang dengan Batik Air untuk menambah kekerapan penerbangan.

“Penerbangan antara Kuala Lumpur dan Miri akan beroperasi dua kali sehari, memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan ifu mencerminkan komitmen syarikat untuk meningkatkan hubungan antara bandar-bandar utama di Malaysia.

Pramugari Batik Air

“Miri merupakan destinasi strategik dalam misi kami memperkukuh jaringan penerbangan domestik.

“Laluan itu bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelancongan Sarawak tetapi juga mempromosikan keunikan budaya dan alam semula jadi negeri ini ke peringkat global,” katanya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Salleh Askor berkata, laluan baharu itu dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan Sarawak sebanyak kira-kira 35.6 juta pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Peningkatan akses melalui laluan udara memainkan peranan penting dalam usaha kami mempromosikan keunikan Sarawak.

“Dengan tarikan seperti komuniti tempatan, Taman Negara Niah dan Gunung Mulu, kami yakin pelancong akan memperoleh pengalaman yang luar biasa,” katanya.

Laluan Kuala Lumpur-Miri itu akan dikendalikan oleh pesawat Boeing 737 milik Batik Air dengan 14 penerbangan seminggu menawarkan pilihan kelas Ekonomi dan Perniagaan.

Miri yang digelar ‘Bandar Peranginan’ merupakan pintu masuk ke Sarawak Utara, terkenal dengan dua Tapak Warisan Dunia UNESCO, iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah.

Selain itu, bandar itu juga merupakan hab penting dalam sektor minyak dan gas di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut atau tempahan tiket, sila layari laman web rasmi Batik Air di www.batikair.com.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button