
Nawaf Salam dilantik Perdana Menteri baharu Lubnan
BEIRUT – Nawaf Salam, seorang reformis terkemuka dan Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dilantik sebagai Perdana Menteri Lubnan yang baharu selepas memperoleh sokongan majoriti ahli parlimen.
Pelantikan Salam dilihat sebagai tamparan kepada Hizbullah dan sekutunya yang sebelum ini menyokong penyandang jawatan, Najib Mikati.
Perkembangan terbaru itu berlaku selepas kedudukan Hizbullah semakin lemah susulan konflik dengan Israel dan kejatuhan Bashar al-Assad di Syria.
Pengumuman mengenai pelantikan itu dibuat oleh Presiden Joseph Aoun, (baru dilantik) selepas Salam memperoleh 85 daripada 128 undi parlimen.
Salam dijangka memainkan peranan penting dalam usaha memulihkan krisis politik dan ekonomi yang melanda Lubnan.
Kerajaan baharu Lubnan bakal berdepan cabaran besar termasuk usaha membangunkan semula negara itu selepas serangan udara Israel dan memastikan gencatan senjata terus dipatuhi.
Dengan sokongan kuasa asing utama seperti Arab Saudi dan Perancis, Salam dijangka melaksanakan reformasi ekonomi yang signifikan dan menangani isu rasuah.
Bagaimanapun, Salam tidak menerima sokongan daripada ahli Parlimen Syiah yang mungkin menyukarkan proses pembentukan kerajaan.
Pelantikan beliau menandakan fasa baharu dalam politik Lubnan dengan harapan kestabilan dan kemakmuran dapat dikembalikan semula.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |