
MOF lulus lesen perbankan digital Ryt Bank, bank teknologi AI pertama negara
KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan lesen perbankan digital kepada YTL Digital Bank Berhad, hasil kerjasama YTL Digital Capital dan Sea Limited.
Bank digital pertama di negara ini yang dikenali sebagai Ryt Bank itu telah memulakan operasi pada 20 Disember tahun lalu akan dilancar secara berperingkat-peringkat.
Ketua Pegawai Eksekutif Ryt Bank, Melvin Ooi berkata, bank yang dipacu dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) itu sedia untuk mentransformasi sistem perbankan di Malaysia.
“Ryt Bank menawarkan perkhidmatan kewangan inklusif yang dapat membantu pelanggan mencapai matlamat kewangan mereka.
“Teknologi AI menawarkan nasihat kewangan, pengurusan simpanan yang cekap, pendaftaran dan transaksi harian yang lebih mudah selain perkhidmatan perbankan yang diperibadikan dengan bantuan AI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melvin berkata, Ryt Bank yang beroperasi 24 jam sehari juga berkemampuan menyediakan pemindahan dana melalui teks input tunggal yang menjimatkan masa dengan sokongan pelbagai bahasa.
Bank itu turut menekankan keselamatan dengan kaedah pengesahan canggih, biometrik dan pemantauan penipuan secara nyata serta jaminan PIDM hingga RM250,000.
“Kami juga menyediakan perkhidmatan tanpa caj tersembunyi dan servis penuh ketelusan.
“Bank ini juga diharap dapat memenuhi keperluan 15 peratus penduduk yang kurang mendapat akses penuh kepada perbankan,” katanya.
Melvin berkata, hasil kerjasama YTL dan Sea Limited dengan pengalaman selama 70 tahun dalam pelbagai lapangan pembangunan negara dan teknologi, Ryt Bank kini bersedia menjadi kuasa baharu dalam perbankan Malaysia.
Ryt Bank akan dilancarkan secara rasmi dalam beberapa bulan akan datang.
Maklumat lanjut boleh didapati melalui LinkedIn atau hubungi pr@rytbank.my.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune