
Malaysia, UAE bekerjasama bangun sistem keselamatan negara berasaskan AI
ABU DHABI – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandantangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di bawah inisiatif Malaysia Madani Artificial Intelligence (MMAI).
MoU itu ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelaburan UAE, Mohamed Hassan Alsuwaidi.
Menurut Saifuddin Nasution, kerjasama itu bertujuan untuk memanfaatkan AI dan analitik data lanjutan bagi meningkatkan keselamatan komuniti, keselamatan negara dan kecekapan operasi.Â
“Antara bidang kerjasama yang dikenal pasti termasuk pembangunan sistem keselamatan negara berasaskan AI, penubuhan pusat data pengkomputeran berprestasi tinggi dan pusat operasi keselamatan negara dan penambahbaikan kecekapan operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Acara menandatangani MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan.
Menurut Menteri Dalam Negeri, kerjasama itu merupakan langkah penting dalam mencapai aspirasi Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam landskap AI global.
Beliau berkata, dengan memanfaatkan AI dan analitik data lanjutan, Malaysia berhasrat untuk menangani cabaran kompleks termasuk keselamatan awam, sambil meningkatkan kecekapan operasi.
Pada masa sama katanya, kerjasama itu turut menandakan langkah penting dalam hubungan keselamatan antara Malaysia dan UAE.
“Malaysia merupakan rakan dagang ke-12 terbesar UAE di Asia dan kelima di kalangan negara ASEAN, manakala UAE adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia di dunia Arab, merangkumi 32 peratus daripada perdagangan Malaysia dengan rantau tersebut,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |