Berita Semasa

KPN akan buka akses eSepakat, mudahkan orang ramai buat aduan isu perpaduan

PUTRAJAYA – Orang ramai boleh membuat aduan mengenai isu perpaduan kaum kepada Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi sistem eSepakat, tidak lama lagi.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sistem yang dibangunkan sejak 2010 itu sebelum ini digunakan kakitangan KPN bagi pengesanan dan pemantauan isu perpaduan di peringkat akar umbi.

“Langkah pembaharuan ini akan memudahkan orang ramai untuk membuat aduan secara terus kepada KPN,” katanya.

Aaron berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Perpaduan kepada warga KPN, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perpaduan, Saraswathy Kandasami dan Ketua Setiausaha KPN, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Bagi tahun 2024, kata Aaron, sebanyak 231 kes direkodkan menerusi eSepakat, iaitu 103 kes berhubung isu agama, 89 kes berhubung kenyataan berbaur kebencian dan 39 kes berhubung isu perkauman.

“Sehubungan itu, KPN akan terus memberikan fokus kepada pelaksanaan program utama di kawasan hotspot, pengurusan isu perpaduan dan program berteraskan keharmonian,” katanya lagi.

Tambahnya, KPN akan mengumumkan dalam jangka masa terdekat bila sistem itu boleh mula diakses secara umum.

Sementara itu, bagi tahun 2025, Aaron berkata, KPN memilih ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’ sebagai tema dan landasan utama hala tujunya.

“Tema ini akan menjadi landasan utama dalam menuju ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’.

“Seperti dinyatakan dalam Dasar Perpaduan Negara, Perpaduan adalah kesatuan masyarakat yang masih diidamkan dan merupakan matlamat akhir Malaysia yang berbilang etnik,” katanya lagi.

Beliau kemudian turut berkongsi empat ikhtiar yang akan menjadi keutamaan KPN dalam 2025.

“Ikhtiar pertama adalah Ekosistem Perpaduan yang akan menjadi platform untuk memupuk

interaksi yang lebih erat antara komuniti, dan kedua, Inisiatif Harmoni MADANI sebagai usaha meningkatkan dan memperkukuhkan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum serta penganut agama di negara ini.

“Ini diikuti dengan Eksplorasi Rukun Negara yang akan meningkatkan penghayatan serta memperkasa nilai-nilai Rukun Negara sebagai nadi kepada perpaduan

negara, dan akhirnya Komuniti Sosio-Budaya bagi melahirkan rakyat Malaysia yang peka dan menghargai khazanah warisan negara terutamanya berkaitan  muzium, arkib dan perpustakaan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button