
476 projek rumah sakit diselesaikan sepanjang 2024
PUTRAJAYA – Sebanyak 475 projek perumahan sakit dan terbengkalai berjaya diselesaikan sepanjang tahun 2024, melibatkan 59,050 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM52.67 bilion.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu berkata, pencapaian ini merupakan hasil usaha bersepadu Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) dalam menangani isu perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai di Malaysia.
“Setakat 31 Disember 2024, TFST mengesan 249 projek perumahan swasta lewat, 392 projek sakit dan 113 projek terbengkalai, membabitkan 139,969 unit rumah dengan GDV berjumlah RM130.83 bilion.
“TFST mencatat pencapaian positif apabila 441 projek telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), 25 projek lewat kembali menjadi lancar, dan sembilan projek terbengkalai berjaya dipulihkan hingga memperoleh CCC atau diselesaikan melalui kaedah lain,” katanya
Selain itu, nilai GDV projek yang berjaya dipulihkan sepanjang 2024 meningkat 30.62 peratus kepada RM52.67 bilion berbanding RM39.81 bilion pada 2023.
“Sebanyak 54,420 unit rumah telah memperoleh CCC pada 2024, peningkatan berbanding 39,028 unit rumah pada 2023. Bilangan projek sakit pula menurun 22.38 peratus kepada 392 projek berbanding 505 projek pada 2023, manakala projek terbengkalai berkurang kepada 113 projek berbanding 117 projek pada tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini, 36 lawatan tapak telah dilakukan, dengan 19 projek berjaya memperoleh CCC, manakala baki 17 projek menunjukkan kemajuan kerja ketara dan dijangka siap mengikut jadual.
Mulai 2025, katanya, pemantauan ditambah baik dengan pemaju dibenarkan mengemas kini laporan kemajuan projek secara langsung dalam Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS).
“Langkah ini akan membolehkan data diperoleh secara lebih telus dan terkini.
“Antara penambahbaikan yang bakal dilaksanakan ialah penggunaan e-SPA untuk urusan jual beli secara digital dan pelaksanaan sistem demerit untuk menggantikan senarai hitam pemaju,” katanya.
Aiman Athirah menambah, usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai sifar projek terbengkalai menjelang 2030.
“Kerajaan Madani komited mempergiatkan usaha pemulihan projek perumahan sakit dan terbengkalai melalui kerjasama pelbagai pihak, demi melindungi kepentingan pembeli.
“TFST akan terus diperkasa sebagai platform utama dalam menyelesaikan isu perumahan, memastikan projek perumahan swasta berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |