Berita Semasa

Tiada kompromi dengan pihak salah guna logo halal – Mohd Na’im

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang didapati bersalah menyalah gunakan logo halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan integriti dan kepentingan awam.

“Tindakan segelintir pihak yang menyalahgunakan label logo halal pada produk adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa dukacita dengan kejadian yang berlaku di premis jualan runcit 24 jam di Universiti Malaya (UM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sudah diarahkan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak terbabit.

Mohd Na’im turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan label logo halal pada mana-mana produk yang dikeluarkan.

Beliau juga meminta semua pihak untuk sentiasa merujuk kepada JAKIM dan pihak berkuasa agama Islam negeri dalam isu berkaitan halal.

Beberapa hari lepas, tular di media sosial mengenai penjualan produk sandwich yang diragui status halalnya di sebuah kedai serbaneka di Univerisit Malaya (UM).

Pemeriksaan KPDN bersama JAKIM ke atas premis pembuat produk tersebut Jumaat lepas mendapati, ia tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang sijil berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button