
KUALA LUMPUR – Seramai 8,909 pemohon ditawarkan mengikuti pengajian ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi kemasukan tahun ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, untuk kemasukan tahun ini, MARA menerima sebanyak 93,635 permohonan ke Tingkatan Satu dan Empat, dengan semua pemohon diwajibkan melepasi Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM).
Jelas beliau, sebanyak 7,229 tempat disediakan bagi kemasukan pelajar ke Tingkatan Satu, manakala 1,680 tempat pula disediakan untuk kemasukan ke Tingkatan Empat.
“Daripada 93,635 pemohon ini, jumlah calon layak secara minimum adalah 21,994 orang atau 35.91 peratus. Calon mencapai merit tinggi iaitu tahap A bagi semua mata pelajaran teras khususnya Matematik dan Sains sebanyak 10.34 peratus daripada jumlah calon (memohon).
“Calon pelajar yang menunjukkan pencapaian yang baik bagi subjek Bahasa Melayu seramai 51,520 orang iaitu 84.08 peratus, Matematik pula 31,768 orang atau 51.4 peratus dan subjek Sains 42,558 orang atau 69.45 peratus.
“Secara umumnya, pencapaian mata pelajaran Matematik meningkat dengan baik, hanya Sains saja yang sedikit jatuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri MARA Integrated Accounting Conference (MiCA), di sini hari ini.
Tambahnya, semakan tawaran dibuka bermula pukul 12 tengah hari ini, secara dalam talian dan maklumat juga dihantar kepada pemohon yang berjaya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang didaftarkan ketika permohonan dibuat.
“Pemohon berjaya diingatkan supaya membuat pengesahan terima/tolak tawaran kemasukan ke MRSM dalam tempoh tujuh hari. Mereka yang tidak membuat pengesahan dalam tempoh ditetapkan akan dianggap menolak tawaran ke MRSM,” katanya.
Bagi pemohon yang layak dan masih belum mendapat tawaran, semakan pertama boleh dibuat hari ini, manakala semakan kedua boleh dilakukan pada 27 Januari ini; manakala semakan ketiga (3 Mac) dan semakan keempat pada 17 Mac depan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |