Jenayah & MahkamahBerita Semasa

Permohonan Tun M untuk hadir dalam prosiding RCI Batu Puteh ditolak Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR – Permohonan semakan kehakiman oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk hadir sepanjang prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kedaulatan Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge ditolak Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Datuk Amarjeet Singh dalam prosiding ringkas yang hanya berlangsung kurang lima minit mengumumkan penolakan permohonan Dr Mahathir dan pasukan peguamnya.

Ketika diminta untuk memberikan alasan ringkas bagi keputusan tersebut, peguam Mahathir, Zainur Zakaria, dimaklumkan bahawa alasan penuh akan disediakan kelak.

Peguam bela Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali mengesahkan bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut, memetik laporan NST hari ini.

Hadir sama dalam prosiding tersebut adalah peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan.

Dalam permohonan tersebut, Mahathir memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah individu yang terlibat atau berkait dengan isu yang disiasat oleh RCI di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Peguam Mahathir, Zainur, mendakwa bahawa Seksyen tersebut menjamin hak individu yang disiasat untuk diwakili oleh peguam sepanjang prosiding.

Namun Shamsul berhujah bahawa terma rujukan RCI hanya berkaitan siasatan dan bukan untuk menyalahkan Mahathir.

Beliau turut berkata, permohonan semakan kehakiman Mahathir sudah menjadi akademik kerana prosiding RCI telah selesai, laporan telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dibentang serta dibahaskan di Parlimen.

Selain itu, Mahathir turut memohon agar Tun Mohd Raus Sharif, yang dilantik sebagai Pengerusi RCI, tidak dibenar meneruskan tugasnya atas alasan kemungkinan berat sebelah akibat hubungan peribadi yang tegang antara beliau dan Dr Mahathir.

RCI itu ditubuhkan pada Februari 2024 setelah mendapat perkenan Sultan Ibrahim, Sultan Johor, untuk menyiasat isu kedaulatan Batu Puteh.

Pada tahun 2022, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mungkin ada kecuaian atau kelalaian dalam tindakan Mahathir berhubung tuntutan kedaulatan Batu Puteh selepas penarikan semula rayuan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengiktiraf kedaulatan Batu Puteh milik Singapura.

Mahathir menyatakan penarikan rayuan itu adalah berdasarkan nasihat daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Dalam keputusan ICJ pada 2008, Batu Puteh telah diisytiharkan milik Singapura, sementara Middle Rocks diberikan kepada Malaysia dan kedaulatan South Ledge ditentukan mengikut kedudukan di perairan yang berkaitan.

Malaysia kemudian memohon untuk mendapatkan tafsiran terhadap keputusan tersebut pada tahun 2017, namun aplikasi itu ditarik balik pada 2018 semasa Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button