
Nilai jualan borong, runcit cecah RM149.3 bilion pada November 2024
KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan jumlah jualan sektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan nilai sebanyak RM149.3 bilion pada November 2024.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, angka itu adalah jualan kedua tertinggi yang direkodkan pada 2024, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 4.7 peratus, namun sedikit lebih rendah daripada pertumbuhan 5.5 peratus yang dicatatkan pada Oktober.
“Peningkatan jualan didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong, dengan perdagangan runcit mendahului dengan peningkatan sebanyak 5.8 peratus kepada RM64.8 bilion, diikuti oleh perdagangan borong yang mencatatkan jualan sebanyak RM66.2 bilion, peningkatan sebanyak 4.7 peratus.
“Bagi subsektor kenderaan bermotor, ia juga menunjukkan pertumbuhan positif, berkembang sebanyak 1.4 peratus kepada RM18.3 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, perdagangan runcit menunjukkan ketahanan dengan jualan runcit di kedai bukan pengkhusuan meningkat sebanyak 5.5 peratus dan jualan runcit di kedai pengkhususan meningkat sebanyak 8.2 peratus.
“Jualan runcit bahan api kenderaan meningkat sebanyak 6.3 peratus diikuti oleh jualan runcit makanan, minuman dan tembakau sebanyak 6.5 peratus,” katanya.
Mengulas mengenai subsektor perdagangan borong, beliau berkata, prestasi teguh subsektor ini adalah sumbangan ketara daripada pelbagai segmen.
“Jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup mencatatkan pertumbuhan sebanyak 13.7 peratus, disokong oleh harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi, meningkat 35.4 peratus pada bulan November.
“Jualan borong barangan isi rumah juga meningkat sebanyak lima peratus, diikuti oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau serta jualan borong jentera, peralatan dan bekalan yang masing-masing.
“Subsektor perdagangan borong terus menjadi tonggak ekonomi, didorong oleh permintaan yang kukuh daripada isi rumah dan perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan 1.4 peratus berbanding 2.7 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan oleh penurunan dalam jualan kenderaan bermotor yang mengalami pertumbuhan negatif 4.3 peratus.
Bagi kumpulan lain, masing-masing merekodkan pertumbuhan positif, dengan jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.6 peratus tahun ke tahun.
Selain itu, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor serta jualan dan penyelenggaraan dan pembaikan motosikal mencatatkan peningkatan yang ketara,masing-masing sebanyak 6.3 peratus dan 13.7 peratus.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |