Berita SemasaDalam Negeri

MyBHA sokong keputusan tukar video promo VMY2026

KUALA LUMPUR – Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) menyokong keputusan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing yang mengarahkan video promosi Tahun Melawat Malaysia (VMY2026) dihasilkan semula.

Presidennya, Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, keputusan itu adalah langkah proaktif bagi mengetengahkan keunikan produk pelancongan di setiap negeri selain dapat mewakili kepelbagaian dan keindahan yang ada di Malaysia.

Katanya, dengan menonjolkan tarikan istimewa yang dimiliki setiap wilayah, kempen VMY2026 diharap dapat memaparkan potensi pelancongan negara secara menyeluruh, inklusif dan asli kepada dunia.

“MyBHA berharap video promosi baharu tersebut dapat menggambarkan keharmonian masyarakat berbilang budaya di Malaysia, menonjolkan semangat perpaduan yang menjadi teras negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Sri Ganesh Michiel

King Sing baru-baru mengarahkan video promosi VMY2026 digantikan dengan video baharu selepas kandungannya disifatkan tidak menggambarkan tarikan pelancongan Malaysia secara menyeluruh.

Sr Ganesh berkata, bagi memperluaskan impak kempen VMY2026, MyBHA menggesa semua ahli untuk mengintegrasikan elemen kempen seperti logo rasmi, lagu tema dan promosi khas ke dalam strategi pemasaran masing-masing.

Katanya, kempen VMY2026 adalah peluang keemasan untuk menonjolkan keistimewaan penginapan bajet sebagai elemen penting dalam ekosistem pelancongan negara.

Selain itu tambah beliau, latihan kakitangan menggunakan modul “Mesra Malaysia” serta penyemarakkan semangat kempen “Sayangi Malaysia” perlu diterapkan untuk memberi pengalaman terbaik kepada pelancong.

Sehubungan itu, Sri Ganesh menyatakan komitmen MyBHA menyokong sektor pelancongan yang mampan dan progresif terutama dalam memajukan industri hospitaliti.

“Sebagai wakil sektor hotel bajet dan perniagaan, kami komited menyokong inisiatif yang dapat memajukan industri hospitaliti.

“Dalam masa yang sama, penginapan mesra bajet juga perlu diberi perhatian untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi mampu milik untuk semua lapisan pelancong,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button