
KK Supermart henti jualan sandwich ‘Ham & Cheese’
KUALA LUMPUR – KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd, (KK Supermart) menamatkan pembekalan dan hubungan perniagaan dengan syarikat pembekal produk Ham & Cheese yang menggunakan logo halal tidak sah pada produknya.
Dalam satu kenyataan, syarikat peruncitan terkenal itu memaklumkan pembekalan produk tersebut di 16 cawangan KK Concept Store dihentikan serta-merta.
“Produk ini dikilangkan oleh Shake And Bake Cafe Sdn. Bhd. dan dipasarkan melalui beberapa platform, termasuk KK Concept Store.
“Logo halal serta tulisan pada bungkusan produk adalah tanggungjawab sepenuhnya pihak syarikat berkenaan,” menurut kenyataan itu.

KK Supermart menegaskan, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan telah mengambil beberapa langkah susulan termasuk menghantar surat tuntutan (LOD) kepada syarikat terbabit pada 10 Januari lalu serta membuat laporan polis kelmarin.
Difahamkan, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah melakukan serbuan di kilang pengeluar produk di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Jumaat lalu.
“KK Supermart sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa demi menjaga kepercayaan dan keselamatan pelanggan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, KK Supermart turut memberi jaminan akan terus komited mengekalkan standard tertinggi dalam kualiti produk serta integriti perniagaan mereka.
“Langkah pencegahan juga diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang,” tambahnya.
Penjualan produk Ham & Cheese di kedai serbaneka itu dikesan di cawangan Universiti Malaysia yang mencetuskan kemarahan umat Islam dan disifatkan sebagai penghinaan kepada umat Islam dan bidang kuasa Jakim.
Tahun lalu, syarikat yang sama mencetuskan kontroversi apabila menjual stoking yang bercetak kalimah Allah.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune