
KEBAKARAN hutan yang melanda Los Angeles di California, Amerika Syarikat (AS) ketika ini mengingatkan kita tentang bencana-bencana besar yang pernah berlaku dalam sejarah umat manusia.
Laporan berita mengenai tragedi yang sudah masuk hari ke enam itu menunjukkan kepada kita tentang kemusnahan pada skala yang begitu dahsyat.

Setakat ini, kebakaran yang berlaku di beberapa kawasan di Los Angeles (LA) itu telah memusnahkan lebih daripada 37,000 ekar kawasan dan meragut sekurang-kurangnya 26 nyawa.
Malah, ia juga mengakibatkan lebih 12,000 rumah dan bangunan musnah sekelip mata. Hampir 250,000 penduduk terjejas dan terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat.
Bagi kita umat Islam, bencana ini seharusnya menjadi renungan tentang betapa kerdilnya manusia jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah SWT.
Kisah ini juga mengingatkan kita tentang pembalasan yang telah ditimpa kaum-kaum terdahulu kerana dosa dan kerosakan yang dilakukan di muka bumi ini.

Pengarah Akademik Kolej Islam As Sofa, Ustazah Aisyah Jamilah Moh Shin berkata, di dalam Al-Quran, Allah SWT ada menceritakan tentang bala yang ditimpakan kepada kaum Ad.
“Mereka sebuah bangsa yang gagah tetapi angkuh kerana kehebatan teknologi dan kekuatan fizikal mereka.
“Rasa bangga diri itu menyebabkan mereka menolak seruan Nabi Hud AS untuk kembali kepada tauhid, malah mencabar agar Allah SWT menurunkan azab-Nya.
“Akibatnya mereka dimusnahkan dengan angin kencang yang amat dahsyat selama tujuh malam dan lapan hari,” jelas Ustazah Aisyah kepada Malaysia Tribune.

Menurut beliau, kisah itu dinyatakan melalui firman Allah SWT dalam surah Al-Haqqah, ayat 6-7.
“Adapun kaum Ad, maka mereka telah dibinasakan dengan angin taufan yang sangat dingin lagi amat kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus-menerus; maka kamu lihat kaum Ad pada waktu itu mati bergelimpangan seolah-olah mereka tunggul-tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk).”
Selain itu, beliau turut membawakan satu hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut azab Kaum Ad sebagai peringatan buat umat Islam.

“Janganlah kamu meminta bertemu dengan musuh, tetapi jika kamu bertemu mereka, bersabarlah. Sesungguhnya azab Allah itu sangat berat. Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah telah menghancurkan kaum Ad dan kaum Tsamud?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Tambah beliau, azab yang diturunkan pada kaum Ad dan kaitannya dengan kebakaran besar di bumi LA itu adalah pada unsur angin ganas yang menyemarakkan kebakaran tersebut.
“Hakikatnya, angin boleh menjadi rahmat apabila ia bertiup dengan lembut, tetapi ia juga boleh menjadi azab apabila Allah mengizinkan ia bertukar menjadi bencana.
“Ini mengingatkan kita untuk sentiasa tunduk kepada Allah SWT dan menginsafi kelemahan manusia berhadapan kekuasaan-Nya,” tegas Ustazah Aisyah lagi.

Justeru katanya, sebagai umat Islam, kita diajar untuk sering mengambil pengajaran daripada kisah umat-umat terdahulu.
“Allah SWT mengutuskan ujian untuk menyedarkan manusia agar kembali kepada-Nya. Bencana seperti kebakaran besar ini bukan sekadar fenomena alam tetapi isyarat untuk merenung kebergantungan kita kepada rahmat Tuhan.
“Bagaimanapun sebagai orang Mukmin kita perlu menjaga akhlak dan tidak sewenang-wenangnya mengutuk mereka yang teruji.

“Sebaliknya kita perlu sentiasa berdoa agar bencana ini segera reda dan menjadi peringatan untuk kita meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.
Ingatlah firman-Nya dalam surah Al-An’am ayat 48 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan rasul-rasul Kami melainkan untuk memberi khabar gembira dan peringatan. Barangsiapa beriman dan mengadakan perbaikan, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
Semoga tragedi ini menjadi iktibar buat kita semua. Tepuk dada, tanyalah khabar iman di dalam hati, perbaikilah diri kerana mati itu pasti mendatangi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
One Comment