Berita SemasaLuar Negara

Kebakaran hutan LA ragut 26 nyawa, ramai masih hilang

LOS ANGELES – Kebakaran hutan yang mengganas di Los Angeles sejak enam hari lalu setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 24 nyawa memaksa kira-kira suku juta penduduk berpindah ke kawasan selamat.

Malapetaka yang telah memusnahkan lebih daripada 37,000 ekar kawasan itu juga telah mengakibatkan lebih 12,000 rumah dan bangunan musnah.

Menurut Pejabat Koroner Daerah Los Angeles, lapan daripada kematian itu berpunca daripada kebakaran di kawasan Palisades, manakala 16 lagi maut dalam kebakaran Eaton di kaki bukit timur Los Angeles.

Penyelia Daerah Los Angeles, Lindsey Horvath berkata, kebakaran besar yang melanda kawasan Palisades dan Eaton bukan sahaja memusnahkan kediaman malah menjadikan beberapa kawasan seperti ‘padang jarak padang tekukur’.

“Kami melalui malam yang penuh ketakutan dan kesedihan yang sukar digambarkan,” katanya seperti dilaporkan NBC News.

Sementara itu setakat semalam, pihak berkuasa mengesahkan 16 individu mangsa masih hilang.

Sherif Daerah Los Angeles, Robert Luna berkata, 12 individu hilang di zon kebakaran Eaton dan empat lagi di kawasan Palisades. Beliau mengesahkan tiada kanak-kanak dilaporkan hilang setakat ini.

Sementara itu, ramalan cuaca AccuWeather menganggarkan kerugian ekonomi akibat kebakaran itu mencecah AS$135 bilion (RM620 bilion) hingga AS$150 bilion (RM690 bilion).

Gabenor California, Gavin Newsom, menyifatkan kejadian itu sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat dari segi kerugian kos.

Bagi mempercepatkan usaha pemulihan, beliau mengeluarkan perintah khas menggantung sementara peraturan alam sekitar bagi pembinaan semula rumah dan perniagaan yang musnah.

Semalam, pasukan bomba udara bertungkus lumus memadamkan api dengan menggunakan pesawat selain menyembur bahan pemadam api di kawasan yang masih terbakar.

Untuk rekod, setakat ini, kebakaran di Palisades telah memusnahkan kawasan seluas 23,713 ekar (96 kilometer persegi) dan hanya berjaya dikawal kira-kira 11 peratus.

Kebakaran Eaton pula memusnahkan 14,117 ekar (57 kilometer persegi), dengan tahap kawalan meningkat kepada 27 peratus daripada 15 peratus sebelumnya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi amaran bahawa kebakaran boleh bertambah buruk sekiranya angin kembali kencang dan cuaca panas.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button