
IRC 2025: Medan timba ilmu teknologi, digital
PERSIDANGAN Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2025) yang berlangsung baru-baru ini sekali lagi menjadi platform penting dalam membincangkan isu-isu semasa berkaitan teknologi dan peraturan kawal selia melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
Dianjurkan buat tahun kedua berturut-turut oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), persidangan ini berjaya menarik minat pelbagai pihak termasuk delegasi asing.
Salah seorang peserta, Aliyu Al Hajj, 35, pelajar PhD dalam bidang Pemikiran Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkongsi pandangannya tentang impak perkembangan pemikiran Islam serta teknologi moden.

Aliyu yang berasal dari bahagian utara Nigeria, telah mengikuti pengajian selama tiga tahun di Malaysia dengan kajian tesis bertajuk Coverage of Islam in Nigerian Newspapers: A Study of Ethical Journalism.
Beliau menyifatkan IRC 2025 sebagai program yang luar biasa kerana tumpuannya terhadap trend moden seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), pengurusan data dan inovasi dalam pelbagai sektor.
“Saya rasa persidangan ini sangat penting kerana ia memberikan begitu banyak ilmu terutama dalam bidang teknologi, pertanian, logistik dan penjagaan kesihatan.
“Sebagai pelajar, saya berusaha untuk menimba ilmu-ilmu berkaitan dengan dunia digital dan memahami bagaimana ia boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan Islam,” ujar Aliyu.
Beliau menekankan bahawa salah satu cabaran utama dalam pengajiannya adalah kekangan untuk menyesuaikan kajian tradisional dengan perkembangan teknologi moden.
Namun baginya, teknologi merupakan alat penting yang dapat memberi pengajaran kepada generasi muda tentang Islam.

“Sebagai seorang pelajar pemikiran Islam, saya percaya kita perlu menggunakan teknologi secara beretika.
“Saya rasa media sosial seperti WhatsApp, Telegram, Twitter (atau X), Instagram dan Facebook mampu memberi maklumat dan motivasi kepada khalayak untuk berbuat kebaikan,” tambah Aliyu.
Penglibatan beliau dalam IRC 2025 membuktikan kesungguhan pelajar antarabangsa itu untuk memahami dan memanfaatkan teknologi dalam kerangka pemikiran Islam.
Kehadirannya di Malaysia sejak 2022 juga memperlihatkan kesungguhan untuk mendalami ilmu dalam suasana pendidikan Islam yang progresif.
Melalui persidangan seperti IRC 2025, Aliyu berharap lebih banyak dialog dapat dilakukan untuk mengintegrasikan nilai-nilai Islam dalam pembangunan teknologi moden.

Beliau juga percaya kemajuan teknologi boleh menjadi medium untuk menyampaikan mesej Islam secara lebih meluas dan berkesan.
“Saya amat terinspirasi dengan topik-topik yang dibincangkan pada persidangan ini.
“Saya percaya dengan pendekatan yang betul, kita dapat memanfaatkan teknologi untuk mendidik masyarakat tentang Islam serta mendorong kepada amalan yang baik,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Apa yang pasti, Aliyu Al Hajj adalah antara suara dari kalangan generasi muda yang yakin bahawa teknologi boleh menjadi jambatan untuk memberi pemahaman tentang Islam.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |