Berita SemasaLuar Negara

Diarah keluar dari pesawat, Khabib cerita hal sebenar

KUALA LUMPUR – Bekas juara Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov menceritakan hal sebenar yang berlaku sehingga beliau dihalau dari sebuah pesawat milik syarikat penerbangan FlyFrontier.

Khabib yang juga ahli UFC Hall of Fame berkata, seorang wanita telah datang kepadanya sambil mengajukan soalan dengan nada yang kasar, walaupun beliau mampu bertutur alam Bahasa Inggeris dengan baik.

“Wanita yang datang kepada saya dengan soalan sangat kasar sejak dari awal, walaupun saya bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan baik dan dapat memahami segalanya serta bersedia untuk membantu, dia masih berkeras untuk mengeluarkan saya dari tempat duduk.

“Saya tidak pasti apa asasnya, sama ada kerana perkauman, kebangsaan atau lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan di akaun X milik beliau hari ini.

Terdahulu, tular satu video memaparkan Khabib bertikam lidah dengan seorang pamugari sebelum beliau diarahkan keluar dari pesawat tersebut.

Mengulas lanjut, Khabib berkata, selepas dua minit berbincang, wanita itu menghubungi pihak keselamatan dan beliau telah dikeluarkan dari pesawat.

“Selepas 1 jamn setengah, saya menaiki pesawat syarikat penerbangan lain dan berlepas ke destinasi saya. Saya telah berusaha untuk tetap tenang dan menghormati seperti yang dapat dilihat dalam video yang tular itu.

“Walau bagaimanapun, para kru tersebut seharusnya dapat melakukannya dengan lebih baik pada masa hadapan dan lebih mesra dengan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, keputusan FlyFrontier untuk menghalau Khabib, mencetuskan reaksi panas dalam kalangan peminatnya, yang tidak teragak-agak untuk menyerang media sosial milik syarikat penerbangan tersebut.

Ribuan komen dan mesej negatif dilontarkan di platform seperti X, Instagram dan Facebook, dengan mereka menyatakan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diterima oleh Khabib, yang terkenal dengan personaliti yang tenang dan sopan.

Ribuan peminat Khabib mendakwa bahawa tindakan tersebut mungkin disebabkan oleh perkauman atau diskriminasi, walaupun tiada bukti kukuh yang menunjukkan perkara itu.

Sebagai rekod, kali terakhir Khabib bertarung di UFC adalah pada tahun 2020 dengan rekod sempurna, iaitu 29 kemenangan dari 29 perlawanan.

Beliau juga diiktiraf secara meluas sebagai salah seorang petarung seni mempertahankan diri campuran terhebat sepanjang zaman, seterusnya dilantik ke dalam UFC Hall of Fame pada tahun 2022.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button