Berita Semasa

Pendigitalan berupaya lonjak pelancongan negara

TAIPING – Pendigitalan berupaya melonjakkan aspek pelancongan negara kerana pelancong masa kini mahukan pengalaman berbeza.

Oleh kerana itu, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Malaysia sudah melaksanakan beberapa inisatif bagi menyediakan pengalaman yang berbeza buat pelancong yang berkunjung ke negara ini.

“Salah satu inisiatif yang dilancarkan adalah Makmal Inovasi Pelancongan Digital (DTIL) diterajui MDEC bagi membantu syarikat pemula mencipta penyelesaian teknologi buat industri pelancongan.

“Dengan menghimpunkan syarikat permulaan, pemain industri, dan agensi kerajaan, DTIL memupuk inovasi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelancong dan perniagaan moden,” kata Gobind ketika berucap pada Jelajah Malaysia Digital @ Perak, di sini hari ini.

Jelajah ini merupakan sebahagian daripada langkah kementerian dalam menguar-uarkan langkah dan tindakannya menggalakkan inovasi, pertumbuhan, dan memperkukuhkan daya tahan sektor pelancongan.

Gobind kemudiannya berkata, satu lagi inisiatif yang sudah dilaksanakan adalah program nomad digital yang dinamakan DE Rantau.

“DE Rantau adalah inisiatif ‘serampang dua mata’ yang bukan sahaja bertujuan menarik individu, tetapi juga mewujudkan komuniti profesional yang menyumbang kepada ekonomi kita.

“Kajian terbaharu menunjukkan, 40 peratus nomad digital di sini tinggal bersama keluarga mereka, membelanjakan bukan sahaja untuk kos sara hidup tetapi juga untuk pendidikan, pelancongan, dan perkhidmatan tempatan,” kata Gobind lagi.

Beliau kemudiannya berkata, kedua-dua inisiatif ini merupakan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam dunia pelancongan digital dan membuka peluang buat rakyat Malaysia dalam sektor lain.

“Menerusi inovasi, kerjasama dan permuafakatan, kita akan mentransformasi Malaysia menjadi peneraju dalam pelancongan digital dan inovasi.

“(Dengan insiatif yang kita ada) Malaysia sedang melangkah dengan yakin ke era digital. Kita (dapat) mengadunkan tradisi dengan inovasi untuk mempamerkan tarikan menarik, budaya yang unik, makanan yang beraneka rasa dan kemesraan kita kepada dunia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button