Banjir di Johor: Orang ramai diminta jangan ambil mudah
JOHOR BAHRU – Keadaan tiga sungai iaitu Sungai Lenik di Batu Pahat, Sungai Kahang di Kluang dan Sungai Sayong di Kulai berada pada paras bahaya susulan banjir yang mula melanda negeri ini.
Empat lagi sungai yang berada pada paras amaran termasuk Sungai Skudai di Kampung Pasir (Johor Bahru), Sungai Punggai dan Sungai Sedili Kecil (Kota Tinggi), serta Sungai Jemaluang (Mersing). Lima sungai lain berada pada paras waspada, antaranya Sungai Pontian Besar (Kulai), Sungai Skudai di Kampung Laut, dan Sungai Tiram (Johor Bahru).
Justeru orang ramai diminta peka dengan persekitaran dan segera berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani.
“Keadaan ini memerlukan pemantauan rapi dan semua pihak dinasihatkan berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat secara mendadak daripada 2,524 kepada 3,449 orang daripada 1,023 keluarga di 36 PPS pada pukul 6 petang semalam.
Katanya, Kota Tinggi kekal menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa melonjak kepada 1,160 orang daripada 368 keluarga yang kini berlindung di 13 PPS. Kulai pula mencatatkan 748 mangsa daripada 167 keluarga di lima PPS.
“Johor Bahru pula mencatatkan lonjakan mendadak, hampir lima kali ganda, dengan 605 mangsa daripada 206 keluarga di lima PPS.
“Kluang pula merekodkan 506 mangsa daripada 148 keluarga di lima PPS, manakala Pontian menunjukkan peningkatan dua kali ganda dengan 430 mangsa daripada 114 keluarga di lapan PPS.
“Walaupun hujan lebat lebih 24 jam kelmarin sudah reda malam tadi, ramalan cuaca pagi ini menjangkakan enam daerah termasuk Kota Tinggi, Kulai, Batu Pahat, Segamat, Pontian, dan Mersing akan terus menerima hujan. Sementara itu, cuaca mendung diramal meliputi Johor Bahru, Muar, Kluang, dan Tangkak,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune