16 maut, kemusnahan akibat kebakaran di Los Angeles cecah 22,000 ekar
CALIFORNIA – Kebakaran hutan yang masih tidak dapat dikawal di negeri ini telah meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa dengan lebih 10,000 bangunan musnah sepenuhnya.
Jabatan Kajicuaca Kebangsaan (NWS) Amerika Syarikat menjangkakan keadaan bertambah buruk pada hujung minggu ini berikutan angin kencang dan cuaca kering dan telah mengeluarkan amaran tahap merah.
Ketua Dewan Perniagaan Malibu Pacific Palisades, Barbara Bruderlin berkata, kebakaran yang bermula pada 7 Januari lalu itu menyebabkan sesetengah kawasan musnah sepenuhnya.
“Semua habis musnah. Tiada apa yang tinggal, malah kayu pun tiada. Hanya tinggal tanah,” katanya memetik laporan CBS News.
Sementara itu, Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass menerima kecaman hebat kerana menyertai delegasi White House ke pelantikan Presiden Ghana semasa krisis memuncak.
Sementara itu, pemotongan bajet sebanyak RM76 juta (AS$17 juta) terhadap Jabatan Bomba Los Angeles mencetuskan kemarahan penduduk bandar itu yang berdepan masalah bekalan air sehingga menyukarkan operasi bomba.
“Jabatan bomba perlu dibiayai secukupnya. Kini, kami tidak mendapat sokongan itu,” kata Ketua Bomba Los Angeles, Kristin Crowley dalam wawancara bersama Fox LA.
Crowley juga mengakui pentadbiran bandar Los Angeles telah gagal dalam menangani krisis tersebut.
Bagaimanapun, Kenneth Mejia, Pengawal Bandaraya Los Angeles, mengambil pendekatan berbeza dengan tidak menyalahkan Bass secara langsung.
Kebakaran yang masuk hari kelima hari ini telah memusnahkan kawasan seluas lebih 22,000 ekar walaupun pihak berkuasa bertungkus lumus memadamkan kebakaran termasuk menerima bantuan daripada pihak swasta dan bantuan bomba Mexico.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune